fbpx

Sajat Mengaku Solat Di Saf Wanita, Salam Jemaah Wanita Lain Berlapik

Masih hangat diperkatakan mengenai kontroversi Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman yang lengkap bertelekung ketika menunaikan umrah, sehingga kini status jantinanya masih menjadi pertanyaan ramai.

Meskipun Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mendakwa status jantina Sajat sudah disahkan sebagai seorang lelaki, namun sukar untuk mendapat pengakuan rasmi daripada empunya badan.

BACA: Sajat Berazam Mahu Tunai Umrah Setiap Tahun

Selepas seminggu pulang dari menunaikan umrah, Sajat akhirnya tampil menjawab segala persoalan mengenai kontroversinya tidak melakukan ibadah umrah mengikut fitrah asalnya menerusi Harian Metro.

Masih tidak mengakui dirinya sebagai seorang lelaki, Sajat mengakui dia menunaikan solat di saf wanita dan beranggapan kehadirannya itu tidak mengganggu jemaah lain.

Sajat berkata lagi, dia mengelak daripada menyentuh jemaah wanita dan jika bersalaman pun berlapik menggunakan tudung.

“Memang saya solat di saf wanita, saya buat ibadah dan tidak mengganggu jemaah lain. Saya tahu batas-batasnya.

“Saya bersama dengan mak saya dan anak-anak saya, kalau ada wanita nak bersalam pun saya berlapik guna tudung,” katanya.

Pendedahan oleh Sajat itu mendapat perhatian ramai netizen yang mengatakan jika benar dirinya wanita mengapa perlu berlapik apabila bersalaman dengan wanita lain. Malah, netizen berkata Sajat sendiri sudah membocorkan rahsianya sendiri kepada umum mengenai identiti sebenarnya.

Terdahulu, Sajat memaklumkan dia bersedia bertemu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelesaikan isu identitinya. Ujarnya, bukannya dia tidak mahu membuat pemeriksaan perubatan di hospital tetapi dia tidak diberikan sebarang surat sokongan daripada JAKIM.