The Tower (2012) ialah sebuah filem bertemakan ‘kemusnahan’ yang diarahkan oleh Kim Ji-hoon iaitu merupakan antara filem pecah panggung tahun 2012 di Korea Selatan. Walaupun jalan ceritanya hanyalah beracuankan dan inspirasi dari filem The Towering Inferno (1974) namun ia masih menghiburkan sebagai sebuah filem aksi dan drama.

Ia mencampur-gaulkan kombinasi ala-ala filem Titanic (1997) dan Daylight (1996) dari sudut ‘pengurungan’ sekumpulan manusia dalam bencana kerosakan lokasi seharian mereka. Manakala keberanian versi ‘membakar diri umpama lilin’ oleh ahli bomba seiras filem Ladder 49 (2004) & Backdraft (1991).


Oh! Apalagi yang asli di muka bumi ini, bukan?

Filem ini bermula perlahan-lahan selama hampir 25 minit awal tayangannya untuk memperkenalkan struktur dalaman bangunan yang menempatkan kompleks perniagaan & kondominium mewah 108 tingkat yang berkembar dan ada jambatan gantung bernama Tower Sky di Seoul, Korea.

Pembukaannya diperkenalkan watak-watak utama yang ‘bakal’ menjadi mangsa kebakaran nanti. Lee Dae-ho (Kim Sang-kyung) ialah seorang duda bekerja sebagai Pengurus Operasi di bangunan itu yang memelihara anak gadisnya, Ha-na (Jo Min-ah). Dae-ho sedang bercinta dengan Seo Yoon-hee (Son Ye-jin) juga seorang Pengurus Restoren di situ.

Seterusnya penonton diperkenalkan watak-watak pekerja yang lain, dari jawatan paling tinggi sehinggalah makcik buruh pencuci bangunan serta penghuninya yang kaya-raya.


Babak-babak awal filem ini, pandai bermain dengan drama suasana dalaman di kalangan pekerja yang berlaku iaitu politik pejabat dan hubungan kekeluargaan masing-masing. Waktu yang sama, setiap latar lokasi semua watak sekaligus menyorot dari sudut-sudut dalaman bangunan untuk memahami perincian binaan bangunan itu kepada penonton.

Dae-ho mendapati bahawa bangunan yang gah itu rupa-rupanya bermasalah dengan sistem air untuk memadam api di tingkat-tingkat teratas. Namun begitu, dek kerana majlis sambutan hebat sempena hari Krismas bakal berlangsung di puncaknya, salah seorang ahli perniagaan yang memiliki Tower Sky iaitu President Jo (Cha In-pyo) mengabaikan amaran oleh Dae-ho. The party must go on! katanya.

Penceritaan awal juga memperkenalkan ahli-ahli bomba yang sedang bertugas pada malam itu di balai operasi mereka. Watak Kang Young-ki (Sol Kyung-gu) salah seorang veteran ahli bomba yang gigih baru sahaja selesai shif kerja namun agak keberatan pulang menemui isterinya kerana dia seorang yang workaholic, agaknyalah. Beliaulah yang akan menjadi hero ‘one-man show’ ala kamikaze yang terbaik. Ingat! Filem ini mengenai ‘kebakaran dahsyat’ yang bakal berlaku jika anda menonton trailer-nya.

Reviu - The Tower - ROTIKAYA

Lantas setelah semua watak dan lokasi di bangunan itu lengkap diperkenalkan, maka majlis hebat sambutan Krismas pun bermula. Babak-babak awal tersebut berjaya menggambarkan suasana ‘aman sebelum musibah berlaku’ yang lazimnya untuk sesebuah filem berunsurkan ‘kemusnahan’.

Puncanya hanya kerana angin lintang dari kejadian alam semulajadi yang akan menjadi teladan kepada manusia yang degil seperti President Jo. Berlagaknya hanya demi untuk menjaga nama masyhur Tower Sky di mata golongan kelas atasan yang menghuni bangunan itu. Di samping itu, filem ini juga menyindir sifat azali manusia yang masih membezakan ‘antara dua darjat’ tentang siapa yang mahu diselamatkan dahulu? Ia jelas digambarkan semasa situasi panik dimana nyawa penghuninya yang kaya-raya dan berstatus tinggi dalam politik lebih diutamakan. Faham!

Ingat! Filem ini mengenai ‘kebakaran dahsyat’ yang bakal berlaku jika anda menonton trailer-nya.

Filem ini seterusnya ialah rentetan dan kronologi kebakaran dahsyat dan kelam-kabut manusia untuk menyelamatkan diri serta perjuangan ahli-ahli bomba yang berani mati untuk berlawan dengan api. Sebahagian besar babak-babak sehingga habis tayangan ialah aksi-aksi lagak ngeri dengan bantuan paparan imej janaan komputer (CGI) untuk merealisasikan kebakaran dan kemusnahan bangunan itu. Dengan bajet cuma RM28 juta, filem ini mampu setanding dengan bikinan filem kemusnahan versi Hollywood yang pastinya lebih mahal.

Reviu - The Tower - ROTIKAYA

Kelebihan utama perfileman Korea ialah kepakaran mereka bermain dengan emosi dramatik dalam babak-babak kemanusiaan yang menyayat hati. Malahan ada juga suntikan babak-babak komedi. Kekuatan lakonan para pelakon yang terkenal ialah pelaburan utama untuk ‘merehatkan’ ketegangan menonton filem bangunan terbakar seperti ini. Sungguhpun bila difikirkan semula dalam situasi genting kebakaran dan runtuhan bangunan, setiap saat terlalu berharga untuk ‘berdrama’ di antara mangsanya, atau anda akan mati. Untuk filem ini, suntikan elemen drama masih boleh dimaafkan.

TT8The Tower ialah sebuah filem yang cuba memberikan kepuasan maksima dari segi visual ala realisme melalui tangkapan kamera dan suntingan yang laju. Filem ini juga ‘selamat’ dari sudut pengembangan cerita kerana mempunyai ramai watak yang ‘terperangkap’ dan blok-blok bilik bangunan yang berbagai bentuk dan lokasi. Ia menyorot berganti-ganti umpama lintas langsung di antara babak-babak mangsa dan ahli bomba. Seperti elemen filem-filem ‘disaster’ yang tipikal, setiap kumpulan yang terperangkap atau penyelamat sudah pasti ada yang mati seorang demi seorang.

Kesimpulan: Kalau muzik K-pop digemari ramai oleh remaja di Malaysia, filem ini juga wajar ditonton untuk mengamati kemajuan pembikinan filem Korea. Saya tertekan dengan emosi dan debaran sepanjang menontonnya, dengan itu saya berikan 4 ROTIKAYA.