fbpx

Ibu Mahu Kilafairy Cepat Tamatkan Zaman Bujang

Sebagai seorang ibu semestinya mahukan anaknya mempunyai pasangan dan hidup bahagia. Termasuklah ibu Kilafairy iaitu penyanyi Rohana Jalil yang mengakui senang hati jika anaknya itu menamatkan zaman bujang secepat mungkin.

BACA: Bapa Kilafairy Sebak Lihat Anak Sudah Bertudung Penuh

“Kalau boleh saya memang nak Kila cepat kahwin. Gembira rasanya kalau anak dah lepas (kahwin).

“Saya tahu buat masa ini dia memang berkawan-kawan dengan lelaki. Apabila ditanya mengenai soal tunang atau kahwin, dijawabnya lambat lagi,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai penghijrahan anaknya yang sudah pun berhijab, Rohana berkata beliau sangat bersyukur dengan keputusan Kilafairy dan mendoakan yang terbaik buat anak bongsunya itu.

“Perubahan itu dibuat sendiri tanpa paksaan. Tengok-tengok dia dah bertudung. Kila beritahu dia memang serius nak bertudung dan saya mendoakan yang terbaik. Minta-minta apa yang dilakukan ini berkekalan,” katanya.

Rohana berkata anaknya juga sudah menjual koleksi baju seksinya itu. Meskipun sebelum ini anaknya itu berdepan dengan pelbagai kecaman, namun beliau tidak runsing kerana pernah merasai situasi sedemikian ketika muda.

“Saya tak benarkan dia berikan begitu saja atau sedekah kerana tak bagus pula. Saya sedar Kila sentiasa berdepan kecaman warganet sebelum ini tapi sebagai ibu saya tak runsing sangat.

“Ketika zaman muda pun, saya dah merasai semua ini. Saya tak layan segala cerita negatif mengenai Kila. Kalau ambil peduli memang akan sakit hati,” katanya.

Dalam pada itu, Rohana turut meluahkan rasa syukur kerana rezeki anaknya tetap ada meskipun sudah berhijrah. Malah, Kilafairy juga nampak lebih gembira dengan kehidupannya kini.