fbpx

“Saat Itu Saya Tahu Dialah Wanita Yang Saya Mahu Sehidup Semati”

Selamat mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hati, Farhan Norzaini pada Jumaat lalu, pelakon Zulin Aziz berkata dia dilamar ketika di Madinah.

Kata Zulin lagi, mereka sudah lama merancang untuk melangkah ke fasa baru dan meluahkan rasa syukur doanya dimakbulkan Allah.

BACA: Zulin Aziz Selamat Bertunang, Nikah 20 Februari 2022

“Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika di Madinah. Sebenarnya, sudah lama kami merancang, akhirnya, Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.

“Majlis pada malam ini diadakan serba ringkas. Malah, atas permintaan famili, kami hanya menjemput ahli keluarga terdekat demi menjaga prosedur operasi standard ( SOP),” katanya.

Menurut Zulin, dia percaya bahawa tunangnya yang juga rakan kongsi perniagaannya itu mampu membimbingnya ke jalan diredai.

“Dia bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersamanya dan boleh meluahkan apa sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Farhan turut menyifatkan Zulin seorang yang pandai mengambil hati keluarganya dan sentiasa ada bersama ketika berdepan suka duka.

“Dia bersama saya ketika mengharungi detik paling hitam dalam hidup di mana saya kehilangan ibu, Oktober tahun lalu. “Saat itu saya tahu bahawa dialah wanita yang saya mahu sehidup semati.

“Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti arwah menjaga saya,” katanya.

Berkongsikan mengenai perkenalan pertama mereka, Farhan berkata dia memberanikan diri menghantar mesej kepada Zulin di Instagram (IG) selepas menonton rancangan Melodi di TV3.

“Ketika itu, saya menonton rancangan Melodi bersama arwah ibu. Kebetulan ada paparan cerita Zulin tak jadi kahwin. Lepas tu arwah ibu cakap dia rasa kasihan dengan Zulin. Tidak semena-mena, arwah ibu cakap tak kisah andai Zulin menjadi menantunya.

“Seterusnya, adik saya yang mendesak supaya mengirimkan mesej langsung kepada Zulin di IG. vSaya tak sangka dia membalas mesej. Ketika itu, saya fikir tidak mungkin Zulin balas kerana saya hanya orang biasa antara jutaan pengikutnya,” katanya.