fbpx

Malaysia Positif Sempadan Singapura-Malaysia Dibuka Semula

Perbincangan berhubung pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura yang ditutup bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 adalah positif, demikian kata Menteri Luar Datuk Sri Hishamuddin Tun Hussein.

Pembukaan sempadan kedua-dua negara yang ditutup sejak 18 Mac lalu berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu bukan sahaja akan menghidupkan semula aktiviti ekonomi, bahkan bakal memanfaatkan lebih 200,000 rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

BACA: Panggung Wayang Dibuka Semula Bermula 1 Julai

Hishammuddin berkata perbincangan mengenai hal itu bersama rakan sejawatnya, Vivian Balakrishnan adalah sangat positif dengan kedua-dua pihak bersetuju mengenai kepentingan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan disepakati terlebih dahulu sebelum keputusan berkenaan pembukaan sempadan negara diputuskan.

Ujarnya walaupun ada pihak melihatnya secara negatif, beliau dan Menteri Luar Singapura tahu apa yang mereka sedang usahakan di mana kandungan perbincangan adalah sangat positif.

“Apa yang penting adalah mengambil pendekatan langkah demi langkah untuk memastikan pergerakan rakyat antara kedua-dua negara berjalan lancar dan selamat serta memberi manfaat kepada kita dalam semua sektor,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Hishammuddin berkata pelaksanaan konsep ‘green bubble’ antara Malaysia dengan negara-negara lain juga tidak dapat dilakukan sekiranya pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura tidak dimuktamadkan.

Antara lain, konsep ‘green bubble’ adalah membabitkan langkah melonggarkan sekatan perjalanan antara dua atau lebih negara yang mencatatkan kes penularan dan jangkitan tempatan COVID-19 yang rendah.

Pergerakan rakyat antara negara penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi serantau, ujarnya.

Selain pelaksanaan PKP, langkah Singapura menguat kuasakan ‘Circuit Breaker’ bermula 7 April lalu juga mengakibatkan sebahagian besar rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan kehilangan sumber pendapatan.