fbpx

Panggung Wayang Dibuka Semula Bermula 1 Julai

Menerusi sidang media khas sebentar tadi, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti pawagam, teater dan juga live event akan dibenarkan dibuka semula bermula 1 Julai 2020.

Mula ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu, kesemua aktiviti itu dibenarkan beroperasi di dalam kawasan atau dewan tertutup tetapi dengan syarat perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan.

Menurut Ismail Sabri, SOP juga mestilah ketat dari segi kawalan kemasukan dan jumlah tidak melebihi 250 individu setiap dewan dan tertakluk kepada keluasan dewan tersebut serta dengan penjarakan 1 meter.

“Kalau dengan penjarakan sosial satu meter kurang daripada 250, maka kuranglah daripada 250 dan tidak bolehlah walaupun kita kata 250, tak boleh mereka benarkan 250 penonton, mesti berdasarkan saiz dewan tersebut.

“Setakat hari ini, kita masih kekal dengan 250, dan sebelum masuk SOP biasa. Cek dari segi suhu badan, pakai topeng muka, cuci tangan dengan sanitizer. Dan di dalam panggung pun mesti diletakkan tanda untuk penjarakan. Jadi kita benarkan mulai 1 Julai,” ujarnya.