fbpx

“Dia Orang Yang Baik, Jangan Buka Aibnya”

Susulan pembatalan perkahwinan di saat akhir, ada segelintir pihak mendakwa Atikah Suhaimie menjadi punca majlis itu tidak dapat diteruskan. Bagaimanapun, Awi Rafael menafikan tuduhan liar itu.

Dalam pada itu, Awi turut meminta agar orang ramai berhenti membuka aib dan tidak terus menghukum ataupun menyalahkan Atikah. Katanya lagi, antara mereka tiada jodoh dan sudah ketentuan Allah bahawa mereka tidak dapat bersama.

BACA: “Siapa Tak Kecewa, Tapi Saya Akur Keputusan Keluarga”

“Dia orang yang baik. Jangan buka aibnya. Kasihan pada dia. Anggap saja apa yang terjadi ini sudah tidak ada jodoh.

“Sepanjang setahun ini dia bekerja keras. Pada akhirnya apabila wang sudah cukup, tapi ketentuan Allah kami tidak dapat bersama. Dalam perkara ini yang turut membabitkan keluarga, banyak pihak kena jaga. Apa yang penting, hormat dan jangan membelakangkan orang tua. Saya fokus pada ibu, dia dengan kedua ibu bapanya,” katanya kepada Harian Metro.

Mengakui sangat sedih di atas apa yang berlaku, Awi percaya Atikah dapat menempuh ujian ini memandangkan dia seorang yang sangat positif. Kata Awi lagi, selepas apa yang terjadi, dia mengakui akan mengambil masa untuk berbaik dengan Atikah.

“Apa saya buat selama ini untuk Allah. Tapi, apabila berlaku sebaliknya, saya sayu dan sedih. Saya sudah cuba tapi tidak berjaya. Namun, semangat saya tetap ada. Saya tidak akan mengalah dalam mencari cinta sejati. Mungkin aturan Allah lebih baik buat saya selepas ini.

“Saya percaya Atikah juga okey sebab saya lihat dia begitu positif dan bersemangat dengan kerja-kerjanya. Cuma, untuk mengatakan sejauh mana dia okey atau sebaliknya, itu membabitkan perasaannya sebagai wanita. Tidak semua boleh faham dengan apa saya rasa dan lalui ketika ini,” katanya.

Sementara itu Awi memberitahu keputusan untuk membatalkan perkahwinan tidak dibuat secara mengejut. Beberapa hari lalu, perbincangan sudah dibuat membabitkan pertemuan keluarga kedua belah pihak termasuk Atikah sebelum mereka mengumumkan tentang perkara itu kepada umum.