fbpx

Bapa Da’i Syed Redha Anak Disiasat, Minta Netizen Henti Menyindir

Menganggap apa yang berlaku terhadap anaknya itu merupakan ujian daripada Allah untuk mereka sekeluarga, bapa kepada pendakwah muda, Da’i Syed iaitu Syed Mohammad Shaiful redha dengan segala ketentuan.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, Syed Mohammad Shaiful berharap anaknya yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes rogol sentiasa bermuhasabah diri dan positif berdepan dugaan tersebut.

BACA: “Dia Tak Setuju Dengan Pilihan Saya Nak Sertai Program Da’i”

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya yakin Allah sedang menguji kami sekeluarga tidak melebihi daripada had kemampuan hambanya.

“Samada bersalah atau tidak, itulah adalah teguran dari Allah dan tanda sayangnya Allah. Tanggapinya dengan positif dan muhasabah diri.

“Saya reda apa yang berlaku, seperti yang pernah saya nyatakan sebelumnya, biarlah pihak yang berkuasa menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman,” katanya.

Dalam pada itu, bapa Da’i Syed turut memohon agar semua pihak menghentikan sindiran dan kecaman serta andaian terhadap anak dan keluarganya berhubung kontroversi terbabit.

“Hentikanlah sindiran dan kecaman dan berandaian atas ujian ini. Setiap ujian itu datang secara tiba-tiba. Sesungguhnya setiap orang daripada kita ada anak atau keluarga dan sudah disediakan ujian dihadapannya dengan pelbagai rupa dan bentuk yang belum diketahuinya.

“Kita semua tidak sempurna. Hari ini kita nampak hebat dan mulia dimata manusia kerana aib kita belum terbongkar,” tambahnya.

Diakhir perkongsian itu, Syed Mohammad Shaiful turut menitipkan doa buat anaknya semoga tabah menghadapi ujian dan sentiasa tenang walau berdepan apa juga situasi.

“Semoga Allah memberi ketenangan hati buat Iqmal dan kami sekeluarga, kerana ketenangan jiwa adalah raja segala kebahagian walau dimana saja posisi kita diletakkan.

“Saya sebagai seorang bapa mendoakan Iqmal tabah dalam menghadapi ujian ini dan jadikan Allah swt tempat pergantungan sepenuhnya. Sesungguhnya Allah SWT tidak pernah menzalimi hambanya,” ujarnya.