fbpx

“Dia Tak Setuju Dengan Pilihan Saya Nak Sertai Program Da’i”

Terdahulu, tular dakwaan seorang individu mendedahkan rakan baiknya menjadi mangsa rogol Da’i Syed. Bagaimanapun, pendakwah dan penyanyi menafikan perkara itu dan sudah pun membuat laporan itu.

Susulan dakwaan tersebut, bapa Da’i Syed tampil membuka mulut mengakui sudah lama mendengar berita buruk mengenai anaknya dan sudah dua tahun mesej yang dihantar kepada anaknya itu tidak dibalas.

BACA: “Mohon Allah Kembalikan Anak Saya Ke Jalan Yang Benar” – Bapa Da’i Syed

Berikutan kenyataan bapanya itu, Da’i Syed mendedahkan hubungan dengan bapanya, Syed Mohammad Shaiful sudah keruh sejak 2016 kerana keputusannya untuk menyertai program realiti Da’i tidak mendapat restu.

“Keadaan sebenar hubungan semasa antara kami adalah perkara peribadi yang perlu disimpan oleh saya.

“Cukuplah sekadar saya menyatakan bahawa ayahanda saya sudah lama meninggalkan ibu saya sejak 2017, lantas berpindah ke Kaherah, Mesir. Hubungan kami berdua keruh seawal tahun 2016 apabila dia tidak bersetuju dengan pilihan kerjaya saya untuk menyertai program Da’i.

“Namun, atas rasa hormat seorang anakanda kepada ayahandanya, saya terima nasihat yang diberikan itu dengan hati yang terbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Syed meminta pengguna Twitter berkenaan memadam semua kenyataan tersebut serta membuat permohonaan maaf kepadanya. Ujarnya, dia akan mengambil tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.

“Saya dengan ini menuntut supaya pengguna akaun Twitter berkenaan untuk memadam segala kenyataan yang bersifat fitnah, ditokok tambah, disebarkan dan ditujukan kepada saya sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan kadar segera

“Permohonan maaf secara bertulis kepada saya juga perlu dilakukan bagi memperbetulkan keadaan. Permohonan maaf ini kemudiannya perlu disebarkan dengan cara sama fitnah ke atas saya disebarkan.

“Sebarang kedegilan oleh mana-mana pengguna akaun Twitter yang berkenaan, akan saya terima sebagai pelawaan bagi saya memulakan tindakan saman fitnah di mahkamah terhadap mereka,” katanya.