fbpx

“Rumah Berpuluh Buah Belum Tentu Janjikan Kebahagiaan” – Neelofa

Selebriti popular Neelofa berkata dia banyak belajar daripada suaminya, pendakwah bebas, Haris Ismail mengenai erti bersyukur.

Memetik BH Online, Neelofa turut berkongsikan nasihat daripada suaminya ketika bersiaran langsung bersama pelakon, Puteri Sarah Liyana baru-baru ini.

BACA: Pakai Dress Ikat Belakang, Netizen Dakwa Neelofa Hamil Anak Kedua

“Saya sangat faham terutama apabila awak kata dahulu rezeki melimpah tetapi masih rasa tak cukup. Dalam kes saya, saya fikir dengan adik-beradik ramai, keluarga besar, jadi mungkin untuk emak ayah fokus dan bercerita mengenai kesyukuran, ada setengah perkara tidak dapat difahami.

“Tetapi saya banyak belajar daripada suami saya. Dia banyak sedarkan saya mengenai aspek kesyukuran. Keluarga saya menjadi saksi. Daripada saya tiada apa-apa sehinggalah pada tahap ini. Bila ada orang baharu masuk dalam hidup saya, daripada sudut pandangan dia, persepsi saya jadi berbeza,” katanya.

Menurut Neelofa, suaminya turut mengubah persepsinya tentang erti syukur sebenar meskipun dalam hal yang kecil. Ujarnya, jika peminat mendoakan dirinya juga adalah satu rezeki.

“Haris selalu minta saya banyak bersyukur sebab kerana apa yang Allah beri kepada saya, tidak macam orang lain. Suami cakap orang lain yang minat dan sokong saya, apabila mereka doakan saya , ia juga dianggap suatu rezeki,” katanya.

Kata Neelofa lagi, suaminya sentiasa memanjatkan rasa syukur meskipun dalam perkara yang paling kecil dalam masa sama dia juga banyak belajar serta sedar bahawa kesenangan belum tentu menjanjikan kabahagiaan.

“Haris jika ada benda paling kecil yang dia dapat, dia sangat bersyukur dan menghargainya. Bagi saya, perkara itu sangat mudah dan biasa. Namun, apabila suami zahirkan dengan rasa bahagia dan syukur, lama-lama saya sedar mungkin inilah apa yang orang lain akan rasa apabila mendapat sesuatu.

“Secara tidak langsung, saya banyak belajar cara munasabah dan fikir semula bahawa sebenarnya, katakanlah, kalau Allah bagi kita rezeki yang besar, duit yang tidak pernah putus, rumah berpuluh buah tetapi semua itu belum menjanjikan kebahagiaan. Kebahagiaan akan datang daripada keberkatan dalam punca rezeki dan sifat yang ada rasa syukur,” katanya