fbpx

Pengisytiharan Darurat Langkah Terbaik Muhyiddin

Penambahan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini amat membimbangkan di mana kes tertinggi melepasi 4 angka. Kerajaan memerlukan tindakan segera terutamanya perbelanjaan tambahan tanpa perlu kelulusan Parlimen.

Bukan hanya Malaysia, banyak negara negara dunia telah mengambil langkah mengisytiharkan darurat dalam memerangi pandemik ini. Antara negara yang telah/pernah mengisytiharkan darurat kesihatan adalah Amerika Syarikat, Sepanyol, Itali, Perancis dan banyak lagi.

Tindakan mengisytiharkan darurat juga adalah strategi serampang dua mata, di mana kemelut politik berpanjangan dapat dielakkan untuk memberikan tumpuan menangani wabak Covid-19.

Berikan penerangan sewajarnya kepada rakyat agar tindakan ini difahami oleh semua lapisan masyarakat. Pengisytiharan darurat ini bukanlah darurat keselamatan dimana kehidupan rakyat berjalan seperti biasa. Elakkan perkara ini dimanipulasi oleh pihak pihak yang ingin menangguk di air keruh.

Langkah yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin sepatutnya diberi pujian. Dengan persetujuan kabinet, Perdana Menteri telah memohon diperkenan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong.

Antara kebaikan sekiranya darurat diisytiharkan adalah seperti berikut:

a. Penangguhan PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat. Jadikan PRN Sabah sebagai iktibar.

b. Perbelanjaan Tambahan dan Belanjawan (budget) 2021 tidak perlu dibahaskan di parlimen. Hal ini penting kerana menangani bencana pandemik ini memerlukan tindakan segera tanpa melalui proses yang panjang.

c. Pergolakan politik yang tak berkesudahan dapat dielakkan demi menumpukan perkara perkara yang berkaitan dengan kepentingan rakyat.

Dalam masa yang sama, Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung BN berkata, Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 150 yang menerangkan pelbagai jenis darurat.

“Apabila perkara yang menyentuh soal keselamatan negara, ekonomi dan sebagainya disenaraikan, maka pentaksirannya kena rujuk pada pakar undang-undang.

“Adakah pandemik Covid-19 ini tidak boleh masuk dalam kategori darurat dan keselamatan?

“Tiga puluh dua buah negara seluruh dunia sudah pun isytiharkan darurat, Malaysia masih belum lagi kerana kita rasa masih boleh urus negara”, ujarnya.

Kesimpulannya, melaksanakan perintah ‘darurat kesihatan’ dilihat langkah terbaik kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta.
Walaubagaimanapun pengisytiharan darurat ini sekiranya dapat perkenan YDA, hanyalah langkah sementara. Kita serahkan kepada kebijaksanaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Gabungan NGO NGO Melayu seluruh Negara termasuk Majlis Perundingan Melayu Malaysia (MPM) menyokong sepenuhnya langkah yang akan diambil oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami berharap dan berdoa agar YAB Tan Sri dapat menangani musibah ini dengan jayanya. Kami berdiri teguh dibawah kepimpinan YAB Tan Sri Perdana Menteri demi kesejahteraan Rakyat dan Negara.

Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu.

Kredit: Air Times