fbpx

Hishammuddin Ke Sabah, Lawat 4 Aset Terbaharu TLDM

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini ke Sabah selama 2 hari bermula 13 Januari hingga 14 Januari untuk lawatan kerja yang meliputi 3 perkara iaitu iaitu Penerimaan Kapal Littoral Mission Ship (LMS), OPERASI MURNI (OPS MURNI) Sabah serta Agenda Keselamatan dan Pertahanan Sabah.

Lawatan Menyaksikan 4 Buah Littoral Mission Ship (LMS) TLDM

Lawatan tersebut termasuk melawat LMS Keempat yang merupakan aset terbaharu milik TLDM di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu Sabah. Beliau juga berkesempatan untuk melawat 3 buah LMS yang lain.

Untuk info anda, empat LMS yang telah disaksikan adalah LMS 1 atau Kapal Diraja (KD) KERIS, LMS 2 atau KD SUNDANG, LMS 3 atau KD BADIK dan LMS 4 yang juga paling terbaharu dinamakan sebagai RENCONG.

RENCONG dikatakan tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 28 Disember tahun lalu. Penyerahan fizikal RENCONG telah dilaksanakan pada 18 Disember 2021 di Qidong, China.


RENCONG bakal melalui satu lagi detik bersejarah yang mana ia akan menerima pentaulihan pada 28 Januari 2022. Sebaik sahaja ditauliahkan, RENCONG bakal dikenali sebagai KD RENCONG seterusnya akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Sebelum ini, 3 buah LMS yang kami disebutkan di atas tadi telah pun diterima dan telah ditauliah lebih awal:

1. Pentauliahan Littoral Mission Ship (LMS) pertama TLDM iaitu KAPAL DIRAJA (KD). KERIS telah dilaksanakan di Wuchuan Shipbuilding Industry Co. Ltd. Wucang Port,
Qidong, Shanghai, China pada 6 Januari 2020.

2. Pentauliahan LMS SUNDANG iaitu Kapal LMS kedua bagi TLDM pula telah dilaksanakan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) pada 5 Mac 2021.

3. Pentauliahan LMS Ketiga TLDM iaitu KD BADIK telah turut telah dilaksanakan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 22 Oktober 2021.

Ketiga-tiga LMS tersebut telah diletakkan di bawah pemerintahan Markas Armada Timur untuk memperkasakan pengawasan maritim di Malaysia Timur.

Misi Utama LMS

Untuk info anda, misi utama skuadron kapal ini adalah bagi menangkis ancaman asimetri, pengawasan kawasan operasi, rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas-tugas sokongan kepada Military Operation Other Than War (MOOTW) serta sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.

LMS merupakan salah sebuah daripada lima (5) kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15 to 5. Kontrak perolehan 4 buah LMS ini telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC).

Projek Perolehan ini merupakan Projek Perolehan aset pertahanan kapital yang pertama daripada negara China.

Keberadaan keempat-empat LMS di dalam negara khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu cukup bermakna bagi TLDM. Ini kerana, ia bukan sahaja menandakan kesemua LMS telah selesai diterima oleh TLDM dalam tempoh yang ditetapkan.

Malah perkara yang lebih penting, TLDM kini boleh melaksanakan sepenuhnya perancangan mereka menerusi LMS ini khususnya di bawah Program Transformasi 15 to 5 bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di perairan negara.

Kalau anda nak tahu, LMS ini sememangnya diperolehi berdasarkan pendekatan Fit For Purpose, antaranya:
i. Direka khas untuk melaksanakan pelbagai tugas di kawasan pesisir pantai termasuklah aktiviti rondaan dan pemantauan.
ii. Mampu menjadi platform sokongan kepada Tim Quick Reaction Force (QRF) terutama di perairan Sabah Timur yang tidak dapat disokong oleh kapal-kapal TLDM kecil yang lain.
iii. Mampu melaksanakan operasi untuk tempoh 15 hari tanpa ulang bekal.
iv. Berkeupayaan untuk menampung beban sehingga 750 tan.
v. Boleh memuatkan 7 pegawai dan 38 anak kapal dalam satu-satu masa.
vi. Mampu beroperasi pada jarak 2000 batu nautika dengan kelajuan maksimum 22 knot.

Menerusi keupayaan LMS ini juga, TLDM akan manfaatkan dengan sebaik mungkin demi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah. Ini termasuklah melalui peningkatan rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melalui jalan laut serta menangani aktiviti pelanunan.

LMS ini hanya sebahagian. Terdapat beberapa lagi perancangan khusus demi keselamatan Sabah dan akan dimaklumkan dari masa ke masa oleh Hishamuddin.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan keempat-empat LMS yang telah diterima oleh pihak TLDM. Bagi pihak Kerajaan khususnya MINDEF, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang berusaha bertungkus-lumus demi memastikan perolehan LMS ini dapat disempurnakan mengikut perancangan.

“Saya secara peribadi turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TLDM atas perolehan 4 buah LMS ini. Saya yakin bahawa TLDM sebagai end user yang menyuarakan hasrat untuk memperolehi LMS berkeupayaan dan telah mempunyai perancangan khusus untuk memanfaatkan sepenuhnya aset ini demi kepentingan keselamatan negara.”

Ia kemudiannya diteruskan pula dengan taklimat daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta beberapa agensi berhubung situasi banjir di negeri Sabah bersama Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor.

OPS MURNI Negeri Sabah

Bagi Ops Murni Negeri Sabah, ketika dimaklumkan oleh Ketua Menteri Sabah bahawa situasi banjir di negeri Sabah ketika ini hampir pulih sepenuhnya, namun menurut Hishamuddin kesiapsiagaan ATM untuk meneruskan kerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah serta setiap agensi berkepentingan menerusi Operasi Murni (OPS MURNI) Negeri Sabah akan terus berada pada tahap tertinggi.

“Sejak hari pertama banjir melanda beberapa kawasan di Sabah termasuk Kota Marudu, Paitan, Beluran, Sandakan dan Telupid, anggota Tentera Darat Malaysia telah diatugerak bukan sahaja untuk membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat terutama Pusat Pemindahan Sementara (PPS), tetapi juga menghantar barang keperluan dan makanan serta membantu penyediaan makanan di PPS.


“Dalam masa yang sama, penting untuk saya maklumkan bahawa pada ketika ini 385 anggota bersama 50 aset daripada Briged Kelima Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Barat Sabah dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia bagi kawasan Pantai Timur Sabah sedang diletakkan dalam keadaan bersiapsiaga untuk diaturgerak pada bila-bila masa di negeri Sabah.

Jelas beliau, keutamaan ketika ini ialah:
i. Membantu masyarakat Sabah yang terjejas banjir untuk melaksanakan kerjakerja pembersihan pasca banjir terutama di kediaman dan infrastruktur awam.
ii. Membantu agensi-agensi berkaitan di Sabah melakukan kerja-kerja baik pulih
kemudahan termasuk jambatan sekiranya ada yang terjejas.
iii. Bersedia sekiranya berlaku gelombang ketiga banjir di Sabah.

Tekad ATM untuk bersama-sama rakyat Sabah mendepani sebarang musibah tetap teguh sejak dahulu lagi. Bukan sahaja dari sudut keselamatan tetapi juga bencana alam. Atas sebab itu, Hishamuddin juga beritahu kepada Ketua Menteri serta seluruh rakyat Sabah, jangan bimbang. ATM akan terus membantu sehingga situasi banjir di negeri ini benar-benar pulih sepenuhnya.

“Bagi pihak MINDEF dan ATM, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri kerana telah berupaya mengkoordinasi perancangan menghadapi musibah banjir dengan sebaik mungkin termasuklah melalui PKOB di peringkat daerah dan negeri.

“Selain itu, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerana berjuang bertungkus-lumus bersama ATM sejak hari pertama banjir melanda Sabah. Hasil kerjasama erat inilah, OPS MURNI ATM Negeri Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan tersusun. Alhamdulillah,” akhiri beliau.