fbpx

Dialek Sabah Terlalu Pekat, Atu Zero Akui Susah Dapat Job

Lebih selesa bercakap menggunakan dialek Sabah, pelawak Atu Zero mengakui sukar untuk mendapat tawaran kerja. Malah, Atu berkata sudah beberapa kali namanya digugurkan produksi kerana dialeknya terlalu pekat.

BACA: Atu Zero: Boleh Jadi Gila Layan Isteri Mengandung

“Bukan sekali, tetapi beberapa kali juga nama digugurkan daripada program sebab slanga Sabah saya yang pekat.

“Mereka kata penonton tak faham apa yang saya cakap dan terpaksa gugurkan nama saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Akui berasa kecewa, bagaimanapun Atu menganggap rezeki tidak menyebelahi dirinya. Ujarnya lagi, dia percaya rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan akan berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga.

“Tak apalah, bukan rezeki saya. Bukan semua penerbit program beri alasan itu tapi ada di antara mereka.

“Bagi saya rezeki itu datang dari pelbagai sumber. Selagi boleh usaha saya akan terus mencari rezeki buat isteri dan anak-anak,” katanya.

Dalam pada itu, Atu berkata dia mempunyai alasan tersendir mengapa dia lebih selesa menggunakan dialek Sabah. Tegasnya, siapa yang akan membartabatkan bahasa tersebut jika bukan anak kelahiran negeri itu sendiri.

“Salah ke jika saya mahu memartabatkan bahasa ibunda negeri saya? Kalau kami (anak seni) dari Sabah ini tidak mempertahankannya siapa lagi?

“Tapi bukanlah bermakna saya tidak boleh langsung bercakap dialek orang bandar (Kuala Lumpur). Saya boleh bercakap bukan dalam dialek Sabah tapi ramai penerbit tak yakin agaknya,” ujarnya.

Kata Atu lagi, meskipun anak-anaknya lahir di Semenanjung namun dia akan mengajar bercakap Sabah kerana tidak mahu mereka lupa asal usul keturunan.