fbpx

Bekas madu kepada Izreen Azminda iaitu Intan Salleh bersimpati dengan kejadian menimpa isteri pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada yang tumbuk oleh suaminya sehingga menerima 10 jahitan.

Memetik Harian Metro, Intan berkata berasa geram apabila mengetahui perkara menimpa Shuhada itu serta menyifatkan tindakan mengasari wanita adalah perbuatan tidak baik.

BACA: “Berzina, Mandi Wajib Bersama” – Shuhada Dakwa Hafidz Kantoi ‘Check In’ Hotel?

“Saya geram dan simpati terhadap Shuhada. Bagi saya kalau sudah lakukan perkara terbabit (berpisah), teruskan saja tapi janganlah sampai aniaya atau kasari perempuan. Itu perbuatan yang sangat salah.

“Semua sudah habis (berpisah), jadi kenapa perlu berkasar begitu. Saya tidak setuju dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Intan berkongsikan Shuhada ada menghubunginya menerusi media sosial serta meminta kata-kata semangat pada bulan lalu.

“Saya ada berhubung Shuhada. Dia ada mesej saya di media sosial dan minta kata-kata semangat. Itu sahaja. Kami mula berhubung sekitar bulan lalu. Dia yang mesej saya terlebih dulu.

“Awalnya dia ada minta saya untuk hubunginya namun tidak berlaku memandangkan saya baru selesai urusan proses pindah rumah. Cuma beberapa hari lepas baru kami dapat berhubung.

“Saya cakap pada Shuhada, apa-apa pun kita kena kuat, fikir anak-anak dan masa depan. Apa yang terjadi mungkin sudah ditakdirkan. Jadi kita perlu teruskan kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Intan yang pernah hidup bermadu berharap wanita di luar sana mempunyai kewangan sendiri apatah lagi kita tidak tahu apa akan terjadi di masa hadapan.

“Macam saya memang dulu bermula dengan ‘zero’, tiada apa-apa. Samalah macam Shu (Shuhada). Jadi apa yang saya boleh nasihat berdasarkan pengalaman adalah rezeki itu akan ada untuk kita.

“Jangan takut, pada masa depan kita akan lebih bahagia. Sebelum ini pada peringkat awal memang saya rasa ‘down’. Semua perasaan kita sudah rasa. Cuma sekarang Alhamdulillah kehidupan semakin bahagia.

“Soal kewangan, semua bergantung kepada individu. Ada yang memilih untuk bergantung pada suami, keluarga atau sebaliknya. Cuma bagi saya apa yang terjadi membuatkan saya rasa kena ada (kewangan sendiri).

“Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Kita perlu teruskan (bagi yang mula cari nafkah sendiri) sedikit demi sedikit. Malah walaupun kini saya sudah berkahwin, saya tetap teruskan perniagaan. Boleh juga untuk bantu suami dan keluarga,” katanya.