fbpx

Crimson Peak: Filem Seram Gotik Paling Jelita, Feminin

Apabila diminta membuat ulasan mengenai filem Crimson Peak baru-baru ini, perkara pertama yang timbul di fikiran ialah pengarahnya, Gulliermo Del Toro yang penulis kenali sebelum ini menerusi filem bernuansa gotik Pan’s Labyrinth (yang dicalon beberapa Anugerah Akademi) serta francais Hellboy. Pengarah kelahiran Mexico ini sememangnya mempunyai reputasi yang cukup baik sebagai pengarah filem selain terlibat dalam beberapa produksi filem yang bukan calang-calang seperti Mama, Don’t Be Afraid of Dark, Rudo y Cursi dan The Devils Backbone. Dengan meletakkan pelakon muda seperti Mia Wasikowska, Tom Hiddleston dan Charlie Hunnam bergandingan bersama pelakon hebat Jessica Chastain, filem ini melengkapkan sebab bagi penulis untuk terus duduk menontonnya sehingga habis.

Berlatarkan lokasi sedikit pencil di Buffalo, Amerika pada tahun 1901. Edith Cushing (dilakonkan oleh Mia Wasikowska) adalah seorang gadis yang ingin memajukan cita-citanya sebagai penulis. Tapi di zaman itu, pasaran bagi kisah-kisah fantasia mengenai yang ingin mengenai hantu amat niche (kecil), apatah lagi digarap oleh penulis wanita, jadi Edith tidak meletakkan harapan yang tinggi biarpun keinginannya untuk menghabiskan penulisannya amat tinggi. Tambahan pula bapanya yang merupakan seorang pengusaha perindustrian yang berjaya dan kaya raya membuatkan dia tidak bimbang mengenai ‘struggle’nya sebagai penulis.

crimson-peak

Sehingga satu hari, kehadiran Thomas Sharpe (Tom Hiddleston) dan kakaknya, Lucille Sharpe (Jessica Chastain) yang membangunkan agenda tersendiri dengan usaha untuk memikat hati Edith membuatkan bapa Edith curiga. Edith pula terpesona dengan Thomas yang pandai bermain kata yang mendorong penulisannya biarpun dalam masa yang sama dia juga berhubungan rapat dengan seorang doktor muda, Dr. Alan McMichael (Charlie Hunnam) . Hubungan keduanya berlangsung begitu cepat setelah adegan menari rentak waltz di suatu malam, yang berlanjutan ke jinjang pelamin. Namun ada tragedi yang menimpa ayahnya membuatkan Edith harus ikut ke kediaman Thomas, di Allerdale Hall di England.

Berawal dari klu berbunyi ‘Beware of Crimson Peak’ oleh mendiang ibu Edith yang membawa kepada hakikat bahawa dia juga mempunyai deria keenam iaitu mampu melihat makhluk halus, penonton dibwa menuju kerumitan yang lebih kompleks ketika ke pertengahan cerita di mana adegan-adegan yang tidak ingin kita lihat muncul sedikit demi sedikit. Teruja bukan? Penonton bahkan disuakan lagi dengan pertanyaan apakah bentuk ancaman yang dahsyat sehingga kuasa halus pun tidak mampu menerima ancaman itu. Dan apa yang berlaku seterusnya itulah yang membuatkan persoalan mengenai kisah sebenar Crimson Peak mula terurai.

Screen Shot 2015-10-22 at 3.15.27 PM

Dari segi lakonan filem ini menampilkan ensemble yang tepat dan komersial. Mia memberikan wajah polos yang cukup emosi sebagai peneraju cerita. Dua sosok lelaki yang menjadikan ramuan romantik dan suspen filem ini iaitu Tom Hiddleston dan Charlie Hunnam (ini kerjasamanya yang kedua bersama Gulliermo selepas Pacific Rim dua tahun lalu) semenangnya berjaya menampilakan pesona aristocrat dengan accent yang cukup meyakinkan . Sementara bagi seorang pelakon Amerika Syarikat, Jessica Chastain setidak-tidaknya berjaya membawakan wataknya dengan loghat Inggeris yang memadai dan subtle. Keseluruhannya filem ini tidaklah bergantung sepenuhnya kepada kekuatan ensemble tetapi ia dicanai cantik dengan faktor kekuatan produksi baik dari segi paparan visual mahupun audio serta setting (lokasi dan CGI) yang mengujakan.

Bagi penulis Crimson Peak menampilkan sisi lain Gulliermo apabila dia berani bermain dengan lebih kental dengan sisi-sisi romantik dengan tidak membiarkan kekuatan garapan nuansa gotik dan fantasi yang menjadi mainannya selama ini. Filem ini ternyata berbeza daripada apa yang kita pernah lihat dalam The Devil’s Backbone mahupun Pan’s Labyrinth. Jika diukur daripada jalan cerita, mungkin ramai yang beranggapan ia mudah diagak tetapi plot-plot yang disusun cantik terutama bagi mengalihkan metafora horror ( imej hantu atau entiti supernatural) kepada kekuatan teras cerita membuatkan filem ini berjaya menggabungkan unsur seram bersama romantik secara simbiotik. Naratifnya mudah dalam kompleks dan tidak terlebih menduga menjadikan filem ini hidangan gotik yang cukup rasa dan indah.

Screen Shot 2015-10-22 at 3.15.43 PM

Gulliermo sememangnya pakar dalam membentuk dunia ‘lain’ yang tersendiri terutama dalam babak di Allerdale Hall. Sepengalaman saya menonton filem-filemnya sebelum ini membuatkan saya tidak hairan kali ini dia mencurahkan kreativiti yang lebih menarik untuk menjelmakan keunikan Crimson Peak. Saya menyukai attention into detail yang dijalin bagi menonjolkan pengarah seni . Atas sebab itu saya fikir setting filem ini sangat membantu membuatkan penulis memberi fokus. Rekaan set oleh Thomas E. Sanders ternyata memberikan impak, bayangkan set rumah agam yang digunakan sekilas saja mampu menegakkan bulu roma, dibias pula tona pencahayaan yang cantik.

Itu belum lagi saat kita menonton bagaimana prop seperti daun-daun gugur, atap rosak serta pemencaran warna yang dipilih berdasarkan tona emosi yang dilontarkan di dalam skrip. Fuh! Saya pasti tersenyum puas kerana kekuatan filem ini adalah visualnya yang cukup-cukup memberikan ‘mood’. Mood ini tidak hanya pada kecantikan visual, tetapi juga kepada turun naik adrenalin penonton apabila babak-babak cemas dan meremang muncul dimana ia disimbah cantik dengan pemilihan tona warna gotik yang tidak berlebihan tetapi mencukupi.

Crimson-Peak--Trailer

Maklumlah kita sering dihidangkan dengan karya gotik yang sangat over the top, tetapi kali ini dibawa oleh pakarnya. Tidak keterlaluan sekiranya penulis menjangkakan filem ini akan sangkut dalam kategori pengarahan seni di Anugerah Akademi tahun hadapan.

KESIMPULAN

Screen Shot 2015-10-22 at 3.15.35 PM

Crimson Peak bagi penulis mungkin sebuah filem seram gotik yang paling ‘jelita’ yang pernah ditonton. Ia membawa unsur feminism dan elegan di samping pencapaian visual yang membentuk atmosfera berbeza (sudah tentu hasil tangan Gulliermo yang saya maksudkan). Disulam cantik dengan tona warna terutama pemakaian warna merah dan putih yang dijadikan perlambangan kuat kepada keseluruhan jalan cerita. Gulliermo memberi naratif yang kemas dengan konsep membuka misteri dengan lapisan demi lapisan dan tidak hanya bersandar kepada plot romantik sahaja.

Hingga kini penulis masih ‘cerah mata’ setelah menonton filem yang satu ini. Untuk itu, saya memberikan filem Crimson Peak ini 3 ½ biji ROTIKAYA!