fbpx

Anak Datuk K Dedah Pernah Susah, Duit Tinggal RM10

Dituduh menumpang pengaruh bapa dan ibu tiritnya, anak kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) iaitu Asyraf Khalid terpaksa memekakkan telinga apabila timbul dakwaan tersebut ketika mula-mula menceburi dunia perniagaan.

Mengakui terkilan dan berang dengan padangan orang luar yang menganggap kejayaan yang dikecapinya kini diperolehi dengan jalan pintas, Asyraf menyifatkan ianya tidak adil jika tanggapan itu berterusan.

“Hati siapa yang tidak terguris kalau balik-balik pandangan sama yang dilemparkan orang luar serta pemerhati dunia niaga. Rasa kadang kadang macam ‘loser’, kerana mereka fikir saya kecapi semua ini dengan cara mudah selain tanggapan klise.”

“Cuma tak adil jika mereka terus berandaian begitu dan begini. Tapi kalau terus larut dengan rasa negatif itu pun saya tak akan ke mana. Saya lawan segala rasa,” katanya.

Jelas Asyraf, minatnya terhadap dunia perniagaan sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi. Pada awal 20 an, dia mula memasang impian untuk bergelar sebagai usahawan berjaya tanpa bergantung kepada pengaruh bapanya.

“Saya bertatih sendiri dari bawah. Ikutkan sejak usia tujuh tahun lagi saya sudah jual pen di sekolah dan macam macam lagilah lubuk perniagaan yang dicuba. Saya memang serius mahu bergelar ahli perniagaan sejak usia 22 tahun hinggalah sekarang,” katanya.

“Jujur saya tak boleh menafikan rasa bengang, jelak dan amarah itu pernah bersarang sampai naik geram. Biasalah yang orang nampak hanya keindahan, di sebalik semua itu tak ada siapa yang tahu,” tambahnya.

Disebalik kejayaannya dalam perniagaan jamu Mutyara Beauty, Asyraf berkata isterinya iaitu Tya Ariffin adalah tulang belakang yang sentiasa menyokongnya dan melihat kesukaran yang dihadapinya untuk mengembangkan perniagaan.

Malah, mereka juga pernah berdepan kesukaran apabila bisnes gagal, berdepan hutang yang banyak dan pernah hidup susah sehinggakan terpaksa mencatu makanan. Asyraf juga berkata, sampai satu tahap duit mereka hanya tinggal RM10 sahaja.

“Tya banyak melihat dan melalui serba-serbi kesukaran dan kepayahan hidup. Bisnes yang gagal dilakukan juga berakhir dengan pelbagai ujian termasuk saya berdepan dengan hutang yang banyak.

“Pernah satu tahap saya dan isteri sampai kena catu makanan kerana kekangan duit. Kami hanya ada RM10 untuk memilih sama ada makan nasi goreng di kantin atau di restoran mamak,” ujarnya.