fbpx

Waris Dan Keluarga AR Tompel Kemuka Tiga Tuntutan

Seperti yang menjadi perbualan peminat dan juga media beberapa hari ini, keluarga dan waris kepada Allahyarham AR Tompel amat terkesan dengan babak yang dipaparkan oleh penerbit serta pengarah kepada telefilem Saloma mengenai watak AR Tompel yang dilakonkan oleh dramatis Azhan Rani tidak benar sama sekali dengan karakternya semasa hayat hidupnya.

Adlin Aman Ramli yang bercakap semasa sidang media di Finas kelmarin, ternyata cukup kecewa sekali dengan apa yang di persembahkan oleh telefilem tersebut dan menerusi peguamnya iaitu Encik Mohd Khairul Azam Abd Aziz telah meminta selaku pihak yang bertanggungjawab iaitu Astro agar menghentikan penayangan telefilem itu serta merta kerana difahamkan sebelum ini telah pun menghantar notis tetapi tidak ada tindak balas yang berlaku mengenai perkara ini.

BACA: Pihak Astro Sedang Teliti Notis Tuntutan Waris AR Tompel

“Notis tuntutan menarik balik penyiaran telefilem dan permohonan maaf di atas penerbitan Astro First bertajuk Saloma & fitnah terhadap Allahyarham AR Tompel,” kata Mohd Khairul Azam selaku peguam kepada waris AR Tompel dalam memulakan perbicaraan itu.

“Tiga tuntutan yang dikemukakan ialah, memohon tayangan telefilem tersebut dihentikan serta merta iaitu dengan menarik balik tayangannya di saluran Astro First. Manakala yang keduanya, selepas penarikan balik, pihak Astro perlu memohon maaf secara terbuka kepada waris kerana menyiarkan telefilem tersebut tanpa rujukan daripada waris dan yang terakhirnya ialah proses rundingan atau mesyuarat dengan pihak terlibat secara tertutup untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih lanjut, kerana ini melibatkan emosi,“ tambahnya.

??Sementara itu, Adlin yang merupakan anak kepada seniman itu turut menjelaskan bahawa apa yang telah dilakonkan oleh Azhan Rani yang telah membawakan watak bapanya Allahyarham AR Tompel adalah tidak benar sama sekali malah dia turut memberitahu bahawa 90 peratus babak mengenai bapanya itu adalah dusta semata-mata.

#01 Waris Dan Keluarga AR Tompel Kemuka Tiga Tuntutan - ROTIKAYA

“Memang benar, ayah saya berkahwin dengan Saloma dan memiliki seorang anak serta beberapa fakta lain dalam telefilem tersebut betul. Tetapi pengarah dan penulis skrip menterjemahkan watak ayah saya seolah-olah mengikut bayangan mereka sendiri dengan berpandukan kata satu sumber sahaja iaitu Mariani (kakak Saloma) tanpa bertanyakan kepada kami waris-waris Tompel”

“Ini membuatkan seolah-olah Tompel menjadi punca Saloma menderita. Lebih-lebih lagi menerusi satu babak yang menunjukkan Saloma terpaksa keluar rumah dengan keadaan sarat mengandung kerana Tompel tidak membayar sewa rumah, menunjukkan Allahyarham langsung tidak bertanggungjawab,“ ujarnya tegas.

Waris kepada Allahyarham AR Tompel juga menjelaskan rasa tidak puas hati terhadap 29 babak yang ditayangkan dalam telefilem tersebut yang seolah-olah menggambarkan Allahyarham AR Tompel sebagai seorang yang bersifat antagonis, kejam dan negatif tetapi apabila sidang media ini diadakan kisah sebaliknya telah diceritakan oleh warisnya.

“Ada 29 babak yang kami sebagai waris rasakan satu fitnah terhadap arwah — babak arwah yang sengaja diada-adakan, direka serta ditokok tambah. Kami benar-benar tersinggung dan sedih dengan hal ini,” katanya pada sidang media yang dihadiri lebih kira-kira 30 orang waris seniman seperti anaknya iaitu AR Badul, Amran Tompel serta dua isteri seniman, Ruminah Sidek dan Zaiton Ismail selain wakil peguam mereka, Azam & Co. (rtky/hfz)