Dikhabarkan bakal melangsungkan perkahwinan tahun ini, pelakon Isa Khan memaklumkan dia dan tunangnya, Risteena Munim masih belum membuat keputusan sama ada meneruskan majlis perkahwinan mereka atau tidak.

Menurut Isa, majlis perkahwinan mereka sepatutnya diadakan pada November ini namun memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dilanjutkan lagi, mungkin perlu ditunda.

BACA: Isa Khan Terima Empat Kali Kejutan Hari Lahir Dari Risteena

“Memang plan asal sekitar bulan November tetapi sekarang PKPB jadi kita tak tahu sama ada boleh teruskan atau tidak. Kemungkinan besar kita kena tunda. Nak tunda ke tarikh baru tu belum pasti lagi,” katanya kepada Gempak.

Kata Isa lagi, dia dan Risteena hanya merancang untuk melakukan majlis akad nikah yang hanya dihadiri tetamu terdekat, manakala majlis resepsi akan diadakan tahun depan.

“Sebenarnya memang plan kami untuk adakan majlis akad nikah saja tahun ini. Majlis resepsi mungkin awal tahun depan. Sebab kami nak buat gathering untuk keluarga, kawan dan rakan media tapi dalam kuantiti yang sikit.

“Tapi itu pun tidak dibenarkan. Kami pun tak pasti lagi macam mana, nak kena tengok keadaan COVID-19. Belum pasti lagi sama ada nak tunda semuanya ke tahun hadapan atau tidak,” katanya.

Isa dan Risteena mengikat tali pertunangan pada 23 November lalu ketika bercuti di Bali, Indonesia.