fbpx

Reviu: The Last Stand

The Last Stand (2013) ialah sebuah filem aksi dark comedy yang menjadi filem Hollywood sulung arahan pengarah Kim Ji-woon dari Korea Selatan yang terkenal dengan arahan filem The Good, the Bad, the Weird (2008) dan I Saw the Devil (2010).

Filem ini juga merupakan comeback lakonan Arnold Schwarzenegger sebagai Sheriff Ray Owens, mengimbas semula aksi beliau yang ‘keras, kental, kematu dengan dialog yang bersahaja tetapi macho’.

Filem ini bermula dengan tenang di sebuah pekan kecil rekaan fiksyen untuk filem ini yang bernama Sommerton Junction, Arizona. Ia merupakan laluan terdekat ke Mexico yang dipisahkan oleh sebuah gaung dan jurang sahaja. Di situ, Owens iaitu bekas polis anti narkotik di Los Angeles, kini bertugas sebagai Sheriff yang menjaga keamanan asas penduduk tanpa masalah jenayah besar-besaran.

Owens dibantu oleh beberapa orang lagi polis yang muda remaja iaitu Deputy Jerry Bailey (Zach Gilford) dan Deputy Sarah Torrance (Jaimie Alexander) serta Deputy Mike Figuerola (Luis Guzmán) yang juga sudah polis veteran seperti Owens. Diperkenalkan juga watak-watak tambahan iaitu Lewis Dinkum (Johnny Knoxville) seorang pengumpul koleksi senjata api antik dan Frank Martinez (Rodrigo Santoro) bekas tentera yang kini menjadi pemabuk.

Penceritaan awal filem di pekan itu sangat santai dimana suntingan muzik latar sangat minima dengan hanya merakam bunyi persekitaran di lokasi yang damai dan tenteram. Kemudiannya filem ini memperkenalkan konflik yang bakal melanda Sommerton Junction iaitu seorang ketua pengedaran dadah, Gabriel Cortez (Eduardo Noriega) telah berjaya melepaskan diri dari tahanan FBI di Las Vegas. Lantas Cortez diburu oleh pasukan polis yang diketuai oleh Agent John Bannister (Forest Whitaker) sebelum dia berjaya menyeberang ke Mexico.

..lakonan Arnold Schwarzenegger sebagai Sheriff Ray Owens, mengimbas semula aksi beliau yang ‘keras, kental, kematu dengan dialog yang bersahaja tetapi macho’

Satu lagi elemen aksi yang menjadi nadi filem ini ialah kepantasan dan kehebatan sebuah kereta berjenama Chevrolet Corvette C6 ZR1 yang dipandu oleh Cortez untuk melarikan diri. Cortez juga menculik Agent Ellen Richards (Genesis Rodriguez) sebagai tebusan. Maka bermulalah aksi kejar-mengejar di antara pasukan SWAT dan roadblocks oleh pihak berkuasa tempatan di sepanjang laluan Cortez. Seterusnya? Anda kena saksikan apakah yang akan berlaku apabila Cortez melalui pekan Sommerton Junction yang menjadi jagaan Owens?

Masih mengekalkan pesona seorang hero yang berani mati, Arnold membawa perwatakan yang kelihatan lebih matang dan cool walaupun nampak ‘kepenatan’ kerana faktor usianya. Bersesuaian dengan jalan cerita, aksi Arnold dibantu oleh beberapa orang sidekicks sebagai helah untuk mengelakkan dia beraksi sendirian di sepanjang filem. Namun begitu, perhitungan terakhir di antara Owens dan Cortez masih memberikan ruang kepada Arnold untuk bertumbuk secara fizikal yang menjadi trademark seorang hero one-man show seperti filem filem terdahulunya.

#02 The Last Stand - ROTIKAYA

Arahan oleh Kim Ji-woon masih cuba mengekalkan aksi tembak-menembak serta babak pergaduhan yang ganas dan mencemaskan seperti arahan filem-filem Korea beliau. Walaupun secara peribadi saya merasakan bahawa filem ini lebih ‘jinak’ berbanding arahannya yang sebelum ini, Kim berjaya menggabungkan acuan Hollywood dengan beberapa babak dramatik untuk seketika.

Filem ini mengangkat persepsi skeptikal kuasa FBI terhadap pihak berkuasa tempatan yang dianggap kurang penting dalam membantu kes pelarian seorang penjenayah. Seperti peribahasa ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’ watak Sheriff Ray Owens membuktikan bahawa dia masih mampu menjadi ‘buaya’ tua yang bertenaga. Sesuai dengan judul filem ini The Last Stand, Owens ialah taruhan terakhir untuk menghadang Cortez yang digambarkan sangat hebat dengan panduan keretanya yang sangat laju dan moden!

#03 The Last Stand - ROTIKAYA

Saya teruja menonton babak kejar-mengejar kereta di antara Owens dan Cortez dalam ladang jagung yang seolah menggantikan kuda sebagai tunggangan untuk filem koboi. Filem ini juga menyuntik suasana dan dialog komedi yang bersahaja dalam situasi genting pertarungan pihak Owens dengan kumpulan pengganas yang diketuai oleh Burrell (Peter Stormare). Sungguhpun kadangkala perjalanan ceritanya mudah dijangka dan klise, namun ia masih sebuah filem yang mampu menghiburkan seandainya anda peminat tegar Arnold Schwarzenegger atau penggemar filem-filem aksi sebegini.

Kesimpulan: The Last Stand sudah tentu hanyalah sebuah filem bertih jagung komersial yang ringan tetapi begitu mendebarkan penontonan saya seperti menyaksikan perlumbaan kereta yang diadun dalam dunia pertempuran senjata api serta aksi gusti WWE, dengan itu saya berikan 4 ROTIKAYA.