fbpx

PENDAPAT: Industri Perfileman Malaysia Dari Kaca Mata David Teo

Ini merupakan sebuah artikel dari penulis jemputan, Syafiq Roos yang merupakan seorang wartawan hiburan dari sebuah akhbar utama di Malaysia.

Bercakap mengenai industri perfileman tanah air, pasti ramai akan terpikirkan taukeh MIG ni.

Untuk pengetahuan semua, lambakan filem keluaran MIG akan sentiasa memenuhi pawagam sepanjang tahun ini sehinggalah pada tahun depan.

Jangan tak percaya, MIG telah menjadualkan setiap 2 filemnya akan ditayangkan dalam masa sebulan untuk sepanjang tahun 2012.

Namun mereka akan berehat sebulan pada Oktober (Oktober atau November, tak ingat) ini setelah berhempas pulas memungut duit kamu semua melalui kutipan filem mereka yang untung juta-juta.

Kesempatan berjumpa dengan David Teo sebulan lalu sebenarnya agak membuka mata aku. Walaupun pada asalnya sukar menerima kenyataan.

Pada hari tersebut, aku membuka soalan kepada David, mengenai kualiti dan juga kuantiti filem yang dikeluarkan oleh MIG. Soalan berbunyi begini.

“Ok David, saya tengok MIG banyak keluarkan filem dan tidakkah perkara ini nampak macam MIG ni mengejar kuantiti dan tidak mementingkan kualiti,” soal aku.

Lalu David menjawab (setelah diperbetulkan bentuk ayatnya):

“Ok la, saya bagitau sama u, kalau kita punya industri perfileman hanya mengeluarkan 3,4 filem sahaja setahun, adakah itu dinamakan industri. Kalau macam itu, macam mana mau cari makan?

“Untuk terus hidup atau cari makan dalam industri kena banyakkan pengeluaran filem. Barulah namanya industri perfileman. Saya sendiri melahirkan beberapa jutawan melalui industri ini di samping membuka ruang untuk pengarah filem muda untuk mengarah.

“Seorang pengarah saya bagi dia arah 10 filem, Jika filem pertama dia banyak kekurangan, takkan filem seterusnya tidak akan ada peningkatan? Dari 10 filem yang mereka arahkan, sudah pastinya kualiti akan meningkat.

“Sebab itu saya percaya, bintang itu dicipta, bukan dilahirkan (baca dalam nada suara David Teo),” kata-kata hikmatnya tersembul sebelum mengakhiri bicara.

Aku terdiam jugak masa tu. Memang ada betul nya kata- kata lelaki berkaca mata tu. Namun bagi aku, dari sudut lain, sepanjang berpuluh filem yang dikatakan akan menampakkan peningkatan, apakah kita akan menerima sepenuhnya apa yang disuap oleh mereka?

Aku tinggalkan persoalan ini kepada korang semua.

Untuk filem keluaran MIG seterusnya ini, aku menunggu filem (sebut filem macam David) 8 Jam, arahan Ahmad Idham. Oh, nantikan jugak PE3, filem ketiga arahan Farid Kamil. Ada lagi 7 untuk Farid habiskan.

Peningkatan kualiti? Tunggulah Farid Kamil pergi belajar oversea dulu, setelah mendapat biasiswa dari MIG. Nanti kita tengok sama-sama.