fbpx

Kami yakin anda semua pasti dah menonton pembentangan Bajet 2022 yang berlangsung pada 29 Oktober lalu.

Secara umumnya, kerajaan akan menyediakan sejumlah RM332.1 bilion, dengan RM233.5 bilion bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19. Sejumlah RM2 bilion turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.

Meh kita recap kembali, Bajet 2022 yang bertemakan, “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” ini. Untuk kali ini kita tumpu dulu Fokus Pertama: Rakyat Yang Sejahtera.

Dalam Strategi 1: Memulih Kehidupan dan Mata Pencarian, terdapat beberapa cadangan yang akan dilaksanakan pada 2022. Moh kita usya satu persatu.

Bantuan Keluarga Malaysia (BKM)

Inilah detik yang dinantikan oleh rakyat Malaysia. Untuk bajet kali ini, Kerajaan memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai 3 orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

Bagi ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000, bantuan tambahan sebanyak RM500 akan diberikan kepada mereka.

Bantuan tambahan sebanyak RM300 turut diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

Kerajaan turut menyediakan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak yatim.

Sebanyak RM32.4 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan, yang kedua tertinggi selepas Kementerian Pendidikan.

Akses Kemudahan Kesihatan Awam

Macam yang anda tahu, Covid-19 kan masih lagi ada di negara kita ni. Jadi Kerajaan tidak duduk diam dengan menambah RM4 bilion untuk meneruskan agenda menangani Covid-19.

Kira-kira RM2 bilion disediakan bagi membiayai program vaksinasi, manakala RM2 bilion lagi untuk meningkatkan kapasit fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, PPE dan kit kesihatan.

Kerajaan juga bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk Covid-19.

Perjanjian telah ditandatangani untuk mendapatkan sebanyak 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

Selain itu, kerajaan juga bercadang untuk memberikan pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.

Pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia seperti lisosomal juga dimantapkan lagi.

Berkenaan dengan duti eksais ke atas produk minuman bergula, ia juga akan diperluaskan.

Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Untuk menghargai peranan barisan hadapan sektor kesihatan, kontrak lebih 10 ribu pegawai perubatan, pergigian dan farmasi akan disambung selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun.

Selain itu kerajaan turut meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian.

Peruntukan RM70 juta disediakan bagi memastikan isu kesihatan mental turut diberi keutamaan.

Pendidikan Berkualiti Untuk Semua

Kredit: malaysiakini

Peruntukan terbesar sebanyak RM52.6 bilion disediakan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pula bakal diperuntukkan sejumlah RM14.5 bilion.

Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah, termasuk RM140 juta kepada Jakim bagi menyelenggara antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar.

Sebanyak RM120 juta disediakan untuk manfaat 1,800 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan juga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Selain itu, sekolah-sekolah daif juga dinaiktaraf dengan peruntukan dinaikkan kepada RM746 juta.

Sebanyak RM50 juta antaranya untuk membiayai pembelian peralatan mengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas.

Meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan peruntukan disediakan sebanyak RM400 juta.

Insentif Khas Alat Bantuan Mengajar secara sekali bayar sebanyak RM100 diberikan kepada lebih 400 ribu guru sekolah di bawah KPM.

Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40, bakal memanfaatkan seramai 600 ribu siswa-siswi.

Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet sehingga 31 Disember 2022.

Diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN pula bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022. Yakyak yeay lah peminjam PTPTN semua ya. Hehe!

Bagi memperkasa bidang TVET, Kerajaan menyediakan RM6.6 bilion untuk melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah kementerian dan agensi-agensi berkaitan.

Menjana dan Mengekalkan Pekerjaan

Kredit: says.com

Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) akan menjamin penyediaan 600 ribu peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.

Kerajaan melalui Perkeso akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300 ribu orang dan peruntukan RM2 bilion.

Inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP akan diteruskan dengan menawarkan 80 ribu peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50 ribu pekerjaan dalam sektor awam dan 30 ribu pekerjaan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mulai Januari 2022.

Bajet 2022 menyasarkan 220 ribu pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion.

Pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga 2023.

Mereka yang mengambil kursus dengan badan-badan profesional yang diluluskan layak mendapat pelepasan cukai ke atas yuran sehingga RM7,000

Potongan cukai dua kali dilanjutkan kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan diperluas kepada semua bidang pengajian.

Perlindungan Sosial

Kredit: CNN

Menerusi Program Baucar Perlindungan Tenang, penerima bantuan B40 layak menerima baucar RM75 ringgit untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

Baucar boleh digunakan untuk membeli polisi insurans komprehensif bagi motosikal 150cc ke bawah mulai 1 Januari 2022.

Skim MySalam diperluas kepada penerima BKM dan manfaat tuntutan kos peranti perubatan juga akan dipanjangkan kepada anak tanggungan penerima mySalam yang layak.

Inisiatif i-Saraan dilaksanakan bagi menggalakkan pekerja sektor informal menabung untuk hari persaraan melalui caruman KWSP.

Bagi perlindungan sosial kepada suri rumah dan balu melalui caruman ke KWSP dan Perkeso, Kerajaan menyediakan RM80 juta di bawah Program Kasih Suri Keluarga Malaysia khusus untuk manfaat mereka hingga umur 55 tahun.

Kadar pencen minimum di bawah Skim Keilatan pula dinaikkan daripada RM475 kepada RM550.

Had pelepasan cukai dinaikkan kepada RM350 ringgit dan skop pelepasan bagi caruman Perkeso turut diperluas meliputi caruman pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan.

Jadi, amacam gais? Ini baru Fokus Pertama dalam Strategi 1 tau, belum lagi masuk fokus dan juga strategi yang lain. Ini satu permulaan yang baik untuk kita semua menghadapi 2022. Malah bantuan yang diperuntukkan ini sedikit sebanyak dapat membantu kita semua bukan dari segi keperluan asas sahaja, malah dari segi pendidikan dan juga kesihatan.