fbpx

Tembus & Mat Tudung: 2 Filem Tempatan Berentap Di Minggu Raya 2014

TEMBUS (2014)

“Aku dekat dengan hidup engkau, engkau lebih dekat dalam hidup aku, kita masing-masing dekat dengan hidup masing-masing, kita boleh tembus hidup, tembus hingga ke darah-daging” kata watak Mazri.

Tembus (2014) ialah filem arahan Ahmad Idham dimana skripnya ditulis oleh Siti Jasmina yang juga pernah bekerjasama dalam filem-filem terdahulu iaitu Niyang Rapik dan Damping Malam.

Ringkasan ceritanya begini, sepasang usahawan yang sedang di kemuncak kejayaan perniagaan iaitu Hari (Aaron Aziz) dan isterinya, Izza (Nur Fazura Sharifuddin) yang menghadapi dugaan konflik paling hebat apabila anak mereka, Zara (Mia Sara) diculik.

Hari dengan bantuan pihak polis dan sahabat karibnya, Mazri (Khir Rahman) cuba menjejaki siapakah penculik Zara dan apakah motifnya? Di sebalik kes penculikan itu, terlindung juga suatu rahsia sulit yang bakal dibongkar satu-persatu melibatkan seorang wanita bernama Marylia (Luna Maya). Anda kena serbu pawagam mulai 28 Julai 2014 sempena Hari Raya tahun ini untuk merungkai jawapannya.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler

TEMBUS 2

Tembus ialah sebuah filem ‘psychological thriller’ yang menjurus kepada penceritaan yang dibawa oleh setiap perwatakan yang ditampilkan. Ia bermula dengan pengenalan kisah oleh watak Marylia yang kelihatan beremosi terumbang-ambing. Siapakah dia?

Kemudian, filem ini menyoroti rutin kehidupan Hari dan Izza yang begitu sibuk dan kalut di antara tuntutan urusan perniagaan dan penjagaan anak mereka, Zara. Lantas sedikit demi sedikit hubungan rumahtangga Hari-Izza mula menampakkan keretakan.

Filem ini mula melonjakkan debaran penonton apabila Zara diculik. Tuduh-menuduh di antara Hari dan Izza juga mula meledak menyalahkan sesama mereka kerana kealpaan menjaga Zara. Di tengah-tengah kemelut itu, Mazri rakan karib mereka menjadi orang tengah cuba untuk membantu. Apa yang dilihat secara zahir di awal-awal filem ini, rupa-rupanya berkait dengan sesuatu yang berlaku beberapa tahun yang lalu iaitu punca asal peledak tercetusnya semua konflik penculikan itu.

TEMBUS 3

Penceritaan Tembus menimbulkan prasangka dan keinginan meneka-neka plot seterusnya oleh penonton di sepanjang penontonan. Seperti sebuah filem misteri dan penyiasatan, ia dikembangkan dengan memberi sedikit demi sedikit ‘hint’ dari dialog watak-watak dan babak imbas kembali yang dipaparkan. Saya akui bahawa Tembus ialah salah sebuah filem tempatan yang baik dari sudut isi kandungan dan kronologi penceritaannya.

Kombinasi para pelakon yang berbagai latar kelihatan mampu menjiwai watak masing-masing dengan meyakinkan. Aaron Aziz dan Nur Fazura sebagai pasangan suami-isteri menyerlahkan sisi-sisi situasi baran atau rapuh kedua-dua watak dengan berkesan.

Manakala pertembungan Aaron Aziz dan Khir Rahman ke babak akhir filem ini ialah momen-momen genting bertikam lidah dan aksi mereka, antara yang terbaik dipaparkan dalam Tembus. Luna Maya pula memerah sehabisnya emosi sebagai watak ala ‘femme fatale’ mangsa dan pemangsa.

TEMBUS 4

Filem ini menjanjikan ‘plot twist’ yang begitu tidak disangka-sangka oleh penonton. Anda perhatikan betul-betul siapakah ‘penjahat’ sebenar dalam filem ini?

KESIMPULAN: TEMBUS (2014) berjaya menghidangkan juadah sebuah filem arus perdana komersial yang sering ditagihkan oleh penonton filem tempatan yang mahukan sebuah hiburan yang dibikin dengan kemas dari naskhah skrip yang berkualiti. Nah! Anda tontonlah di pawagam sekarang! Saya berikan 4 BIJI ROTIKAYA.

MAT TUDUNG (2014)

“Woi! Yang kau pergi makan buah dada aku ni kenapa?” kata watak Johari.

Mat Tudung (2014) ialah sebuah filem bertih jagung habis-habisan arahan Wan Mohd Hafiz Wan Hussein yang sebelum ini pernah mengarahkan filem seram komedi Hantu Tok Mudim. Tajuknya sahaja sudah kedengaran cantuman yang janggal dan mengundang tawa dengan tagline ‘Mat Rempit Kena Himpit’, katanyalah!

Kisahnya mengenai Johari (Fizz Fairuz) seorang bekas pelumba haram atau ‘mat rempit’ yang kesempitan wang lalu meminta belas ihsan dari boss-nya untuk dibayar gaji awal dengan bersyarat iaitu dia mesti melayan kerenah satu keluarga anak-beranak yang datang bercuti di hotel dia bekerja.

MAT TUDUNG 6

Keluarga itu ialah Datuk Meor (Harun Salim Bachik), isterinya Datin Hani (Rosnah Mat Aris) serta anak-anak mereka, Zizie (Nelydia Senrose) dan Zameer (Abdul Munir). Johari meminta bantuan rakan sekerjanya, Azhar (Izzue Islam) untuk menjadi ‘side-kick’ untuk setiap plannya untuk memenuhi setiap permintaan yang bukan-bukan dari keluarga tersebut.

Kenapa Johari mesti menyamar sebagai Johanna, seorang wanita bertudung? Saksikan Mat Tudung di pawagam tempatan mulai 28 Julai 2014, kalau anda teruja menonton trailer dan melihat posternya, silakan!

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler

Mat Tudung mungkin mahu memberikan se-adanya apa yang kononnya dimahukan oleh penonton iaitu hiburan untuk ketawa terbahak-bahak menonton babak-babak seorang lelaki, watak Johari yang menyamar sebagai perempuan bertudung bernama Johanna? Kenapa tidak sahaja menyamar sebagai wanita yang memakai rambut palsu?

MAT TUDUNG 4

Mungkin dengan bertudung mudah kerana hanya perlu menyarungkan tudung menutup kepala sepenuhnya dan memakai pakaian yang berlitup penuh tanpa perlu memakai skirt yang terpaksa mencukur bulu kaki? Mungkin.

Penampilan tambahan oleh watak Azhar yang juga bertudung dengan nama Azharina walaupun jelas bermisai, mungkin juga menggelikan hati? Ia cuba sedaya-upaya ‘mengizinkan’ penonton untuk mengetawakan penampilan lelaki-lelaki bertudung kerana ia kelakar. Maka secara ringkasnya, komedi filem ini bergantung sepenuhnya kepada babak-babak janggal itu.

Penonton akan cuba memahami tekanan emosi dan tenaga yang dilalui oleh watak Johari/Johanna kerana terpaksa berkejar ke sana-sini untuk memenuhi semua permintaan ahli keluarga Datuk Meor. Sekejap jadi Johari, sekejap jadi Johanna.

Filem ini cuba menjadi sebuah filem cinta komedi di antara Johari dan Zizie yang diselang-seli dengan permintaan Datin Hani yang juga mahukan Johari sebagai ‘anak ikan’ nya. Manakala Datuk Meor pula seorang lelaki separuh usia yang gatal mula menyukai Johanna. Waktu yang sama, Zameer yang berperwatakan ‘lembut’ juga menyukai Johari setelah kecewa dengan layanan wanita kepadanya sebelum ini. Kronik dan kasihan Johari/Johanna kan?

MAT TUDUNG 1

Dari sudut lakonan, Fizz Fairuz yang menjadi tunjang utama filem ini bolehlah dikatakan telah cuba sebaiknya untuk melakonkan watak Johanna yang mungkin mencabar kerana mahu menuruti kehendak skrip dan perwatakan sebegitu. Malahan ada satu babak yang agak ‘berani’ dimana Johari/Johanna terliur dan terangsang semasa Zizie cuba membuat ‘makeover’ tudung yang dipakainya. Penonton dewasa pasti memahami situasi yang dihadapi oleh watak Johari/Johanna waktu itu.

KESIMPULAN: MAT TUDUNG (2014) ialah sebuah filem komedi ringan santai yang mengambil asas berhijab sebagai suatu kostum penyamaran sahaja, mungkin tanpa niat memperlekehkan pemakaian sebegitu. Siapa tahu?

Ceritanya biasa-biasa sahaja. 2 BIJI ROTIKAYA.