fbpx

REVIEW: The Maze Runner

Semenjak populariti novel-novel young adult seperti Harry Potter dan Twilight melonjak laku di pasaran apabila ia diadaptasi ke filem, maka berbondong-bondonglah produksi filem di Hollywood mengikut jejak langkah yang sama. Terkini, filem berjudul The Maze Runner (2014) dari karya asal novel hasil tulisan James Dashner (2007) sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Ringkasan ceritanya begini; The Maze Runner mengisahkan sekumpulan remaja yang terperangkap dalam sebuah kawasan padang dan hutan yang dipanggil Glade setelah mereka dihantar melalui sebuah lif yang naik dari bawah tanah, seorang pada setiap bulan. Mereka sudah tinggal berkampung di situ selama lebih 3 tahun.

Penempatan mereka itu dikelilingi oleh tembok-tembok yang sangat tinggi dipanggil ‘Maze’ iaitu batu-batan yang sentiasa bergerak dan berubah umpama laluan teka-teki yang merbahaya. Kenapa mereka dikurung di situ dan diuji sebegitu? Anda kena menontonnya sendiri di pawagam tempatan sekarang.

AMARAN: Ulasan seterusnya ini mungkin mengandungi spoiler

TMR3

The Maze Runner dibuka dengan pantas. Penonton mengikuti dan mengalami situasi genting kekeliruan oleh watak utamanya, Thomas (Dylan O’Brien) yang berada dalam sebuah lif yang ditimbuni bekalan makanan yang bergerak laju menaik ke atas sehingga ke permukaan bumi. Dia disambut oleh ramai remaja lelaki berbagai bangsa yang berpakaian kusam bergelar Gladers.

Thomas mengalami amnesia, tidak dapat mengingati apa-apa pun yang berlaku kepadanya sebelum dihantar ke situ atau asal-usulnya, kecuali nama sahaja iaitu ‘Thomas’. Begitu juga semua Gladers yang lain tiada sebarang memori silam yang mampu dikenang semula. Mereka hanya mahu untuk meneruskan kehidupan dengan aturan dan undang-undang bermasyarakat yang dipersetujui bersama.

Di kalangan Gladers ada sekumpulan remaja bergelar Runner yang bertugas setiap hari berlari pantas merentasi laluan Maze bagi mengira setiap perincian pemetaan selok-belok di dalamnya untuk kegunaan mencari jalan keluar dari Glade suatu hari nanti. Di samping itu, dalam Maze ada sekumpulan raksasa bergelar Griver yang akan memburu dan membunuh setiap Runner sekiranya mereka terperangkap di dalam Maze selepas senja.

TMR2

Filem ini umpama sebuah permainan teka-teki luas dan besar serta pengejaran masa seperti bermain Pac-Man. Sebegitulah bayangannya cabaran di dalam Maze yang saya boleh permudahkan. Tarikan utama filem ini ialah aksi-aksi cabaran selamat hidup atau mati terkepit oleh perubahan pergerakan blok-blok Maze atau dibunuh oleh Griver.

Thomas dipilih menjadi salah seorang Runner kerana kepantasannya berlari dan kecerdikannya berbanding Glader sebelumnya. Ada sesuatu yang aneh dan unik dalam diri Thomas yang begitu teruja hendak keluar dari Glade melalui Maze itu. Kemampuannya yang luar biasa itu mula dikhuatiri oleh salah seorang Glader iaitu Gally (Will Poulter) yang mengesyaki Thomas ialah salah seorang konco pengendali Maze. Benarkah?

Kekalutan di situ semakin menjadi-jadi apabila seorang lagi Glade terkini dihantar dalam jangka masa kurang dari sebulan iaitu satu-satunya gadis bernama Teresa (Kaya Scodelario) dimana dia seolah-olah mengenali Thomas. Apakah hubungan Teresa dan Thomas?

TMR8

Penceritaan The Maze Runner berselang-seli aksi di dalam Maze dengan drama konflik di kalangan Glader yang mula berpecah-belah semenjak kehadiran Thomas. Filem ini boleh dikatakan berjaya menimbulkan debaran dalam babak-babak di dalam Maze tetapi terasa sedikit meleret-leret semasa babak-babak drama ala siri tv Lost di dalam perkampungan Glade. Namun begitu, ia masih sebuah filem yang ok terutamanya dari sudut efek khas dan suntingan semasa sekuen cemas di dalam Maze sama ada semasa serangan Griver atau perubahan gerakan batu-batan yang tiba-tiba.

Seperti pembikinan siri filem The Hunger Games, filem ini juga sebahagian besarnya berkisar di kawasan belukar dan padang rumput yang sebenar. Manakala paparan di dalam Maze sudah tentu dihabiskan dalam ruang ‘green screen’ untuk babak-babak aksi yang nampak merbahaya. Namun begitu dek kerana ruang ceritanya yang hanya terhad di dalam perkampungan Glade yang dikelilingi oleh binaan Maze itu, penceritaan filem ini kelihatan ‘kecil’ kerana ia hanya berkisar dalam kehidupan masyarakat Glade sahaja.

Secara peribadi, saya menyukai pengembangan ceritanya tentang kisah Thomas dan Glader lain yang berusaha sedaya-upaya untuk keluar dari Maze. Cuma ke babak-babak penyudah filem ini, ia seolah-olah terkejar-kejar dan bertimbun-timbun untuk menyimpulkan berbagai plot sekaligus untuk menuju ke pintu keluar lalu masuk semula ke dalam kisah novel yang seterusnya sebagai sekuel.

TMR4

Di antara formula pembikinan filem aksi fantasi fiksyen sains sebegini ialah memerlukan wajah-wajah pelakon remaja yang popular sebagai umpan target penontonnya. Dalam The Maze Runner, taruhan utamanya ialah Dylan O’Brien sebagai watak utamanya Thomas dari siri tv Teen Wolf yang digandingkan dengan Thomas Brodie-Sangster sebagai Newt yang terkenal dari siri tv Game of Thrones. Kaya Scodelario sebagai watak Teresa Agnes dari siri tv Skins dan Will Poulter sebagai watak Gally yang mula melonjak naik selepas filem We’re the Millers. Sementara itu, penampilan Ki Hong Lee sebagai watak Minho yang sudah tentu menarik hati penonton di negara-negara Asia.

KESIMPULAN

The Maze Runner (2014) seperti judulnya pasti mendesak perasaan penonton seperti ‘berlari’ bersama dengan watak-wataknya dalam kecemasan di antara blok-blok Maze itu. Kalau anda mahukan sesuatu tontonan pemanas badan sebelum tibanya filem The Hunger Games: Mockingjay – Part 1, maka inilah filemnya.

Oh ya! Untuk pengetahuan semua, novel The Maze Runner ada 2 sekuel dan 1 prekuel. Sudah tentu adaptasi novel-novel itu akan datang ke pawagam suatu hari nanti.

Saya berikan 3 BIJI ROTIKAYA.