fbpx

Kristy: Filem Seram Klise Yang Masih Menghiburkan

Gabungkan ciri-ciri filem slasher dan home invasion maka terhasillah filem sebegini.

Kristy (2014) ialah sebuah filem seram bertih jagung yang biasa-biasa sahaja tetapi menghiburkanlah juga. Ia mengisahkan Justine (Haley Bennett) seorang pelajar kolej yang tidak dapat pulang ke kampung halaman sebelum cuti hari Thanksgiving kerana tidak cukup duit untuk beli tiket kapal terbang. Walaupun kekasihnya Aaron (Lucas Till) dan rakan sebiliknya Nicole (Erica Ash) beriya-iya mengajak untuk ikut balik bercuti ke rumah mereka, tetapi Justine berdegil.

Sesuatu yang diluar jangkaan akan berlaku kepada Justine kerana dia akan menjadi target mangsa seterusnya kepada suatu kumpulan pembunuh bersiri pengikut amalan kultus yang akan memuat-naik rakaman siri pembunuhan kejam gadis-gadis cantik dan kaya ke internet di laman web rahsia dinamakan ‘Kristy’. Sama ada anda mahu katakan “padan muka!” kepada Justine atau kasihan kepadanya, anda kena saksikan di pawagam sekarang untuk mengetahui kesudahan filem ini.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri.

RANDOM

Asalnya filem ini berjudul ‘Satanic’ dan ‘Random’ tetapi akhirnya ditukar kepada ‘Kristy’ bersempena dengan gelaran kepada mangsa gadis-gadis yang dibunuh. Ia tidaklah diwar-warkan sebagai sebuah filem yang popular di media USA kerana belum ditayangkan di sana. Namun begitu ia mula diperkatakan oleh peminat tegar filem seram di internet semenjak ditayangkan di beberapa buah negara Asia dan di Festival Filem London baru-baru ini.

Mirip penampilan pembunuh yang bertopeng seperti dalam siri filem-filem Scream (2006-2011), I Know What You Did Last Summer (1997-2006) dan Halloween (1978-2009) filem Kristy seolah-olah mahu membikin siri filemnya tersendiri. Seiring dengan kemajuan teknologi, penjahat-penjahatnya ditambah berciri ‘high-tech’ dengan kepakaran mensabotaj talian telefon dan menggodam internet. Kegilaan mereka jua diberikan identiti yang ganas serta psiko yang suka bersiul.

Kristy ialah sejenis filem yang mudah dijangka perjalanan ceritanya tetapi tidaklah membosankan untuk ditonton mengikut tekaan penonton babak demi babak kerana pelakon utamanya iaitu Haley Bennett yang bolehlah dikatakan bagus. Watak Justine yang menjadi tunjang cerita memberi peluang kepada Haley untuk berlakon manja-manja di awal cerita, seorang yang penakut di pertengahan, lantas bertukar berani dan ganas ke penghujung filem. Gadis ini berpotensi dan wajar diberikan watak-watak yang lebih mencabar di masa akan datang.

RANDOM

Struktur penceritaan dan skrip Kristy seperti formula yang jelas kronologinya disusun tanpa beriya-iya hendak menyumbat sebarang ‘plot twist’. Satu per tiga durasi di awal filem, semua peralatan & kepakaran Justine sudah dipaparkan untuk persediaan melawan semua penjahat di babak finale.

Misalnya, Justine pantas berlari dan pandai berenang. Justine juga diberikan pita rakaman oleh kekasihnya. Disamping itu semasa di dalam satu kelas, pensyarahnya mengajar bahawa campuran beberapa bahan kimia dan air mampu menghasilkan letupan. Watak seorang penjaga bangunan yang menyimpan semua kunci kolej iaitu Scott (James Ransone) juga diperkenalkan sambil lalu. Semua petanda itu dipanggil ‘set up’ dalam penulisan skrip filem yang akan digunakan satu-persatu oleh Justine ke penghujung penceritaan yang dipanggil ‘pay-off’.

Penceritaan filem Kristy bergerak pantas selepas babak Justine berkonflik dengan Violet di kedai serbaneka stesen minyak, Market Max. Penonton seiring dengan Justine tidak tahu dimana lokasi semua penjahat yang memburunya melalui bilik-bilik asrama seumpama perangkap. Manakala apabila Justine bangkit melawan semula selepas kekasihnya dibunuh, penonton pula diterbalikkan untuk mengikuti satu-persatu watak penjahat diburu oleh Justine yang tidak diketahui lokasi dia akan membuat serangan hendap.

K7

Perwatakan Justine sebagai mangsa lemah dan naif buruan Violet dan konco-konconya yang dikejar ke sana-sini di awalan filem ini, berubah menjadi pemangsa yang lebih ganas apabila mula menyedari bahawa seluruh kawasan asrama dan kampus ialah tempat mastautin yang sememangnya sudah biasa dilalui oleh Justine setiap hari. Babak-babak kebangkitan Justine itu yang menjadi keseronokan penontonan untuk melihat bagaimana dia membalas dendam ala ‘McGyver’ sehingga kesudahan filem ini.

Disamping Haley Bennett, penampilan Ashley Greene juga menarik. Ashley yang mulai popular melalui siri filem Twilight dimana dalam Kristy dia memegang watak salah seorang penjahat bernama Violet. Sudah pasti perwatakannya yang kontras psiko sebagai lawan kepada Justine menjadi salah satu bahan tarikan pemasaran filem ini. Penampilan watak Violet yang buruk dan menakutkan dengan aksesori subang di hidung dan bibir serta gigi yang berkarat sudah tentu memberi ruang kepada Ashley untuk bermain dengan watak hitam berbanding watak gadis baik budi bicara sebagai Alice Cullen dalam siri filem Twilight.

K4

Dari sudut pembikinan, pengarahnya Oliver Blackburn suka mengambil sudut-sudut kamera tangkapan berdurasi panjang dengan adunan muzik latar ‘techno’. Latar lokasi sebahagian besar filem ini yang berlaku di waktu malam, di dalam dan luar asrama serta kampus menambahkan lagi suasana ngeri dan debaran melihat aksi kejar-mengejar di antara penjahat dan Justine.

Namun begitu, filem Kristy hanya mengambil rangka dan formula filem-filem seram pembunuh bersiri bertopeng seangkatannya tanpa menguatkan lagi motif dan misi kumpulan kultus kejam via paparan di internet itu. Mungkin kerana filem ini lebih menumpukan kepada kisah ‘survival’ mangsa mereka iaitu Justine. Mungkin juga sekuel atau prekuel filem Kristy akan dibikin untuk mendalami kenapa kumpulan itu mula diwujudkan?

KESIMPULAN

K6

Kristy (2014) ini kepada peminat tegar filem seram, mungkin hanyalah pengulangan dan campur-aduk filem-filem seram sebelumnya. Tetapi bagi saya, kadangkala filem yang klise sebegini dimana mangsa dan hero yang dilakonkan dengan baik oleh Haley Bennett melalui watak Justine yang ‘berani mati’ masih mampu menghiburkan.

Oh ya! Anda disarankan menunggu sehingga berakhir paparan kredit di hujung filem ini kerana ada babak tambahan yang memberi petanda bahawa Justine bakal kembali sebagai ‘Kristy’ yang sebenar. Saya berikan 3 BIJI ROTIKAYA.