fbpx

Keith Foo Belajar Agama Islam Sebelum Bawa Watak Dalam Ariana Rose

Pelakon dan hero Ariana Rose, Keith Foo menjelaskan mengenai isu yang berbangkit di dalam drama itu apabila watak yang dilakonkan itu mempertaruhkan agama dan disebabkan juga Keith Foo bukanlah seorang yang beragama Islam, ini dilihat seperti mempersendakan agama Islam.

“Rasanya tiada masalah untuk saya membawakan watak sebagai seorang yang beragama Islam kerana sedikit sebanyak saya boleh mempelajari agama Islam. Sebelum ini juga saya mendapat tawaran berlakon seperti watak ini dan di Indonesia sendiri saya telah menerima dan berlakon watak seperti ini,” ujarnya.

Keith Foo turut berkata bahawa sebelum sesuatu penggambaran yang melibatkan watak sebagai seorang Muslim dia akan sedikit sebanyak akan membuat kajian mengenai watak dan agama Islam itu sendiri agar tidak menjelaskan lakonannya & terima kritikan.

“Sebelum saya melakonkan watak sebagai seorang Islam, sudah semestinya saya akan lakukan sedikit kajian mengenainya dan turut bertanyakan kepada kawan-kawan yang lain agar dapat membantu supaya tidak terpesong daripada ajarannya yang sebenar. Saya juga tidak ada masalah kerana kakak saya sendiri merupakan seorang Muslim,” ujarnya panjang lebar.

Berkaitan Ariana Rose yang kini menjadi fenomena semasa, beliau sama sekali tidak menyangka drama lakonannya telah meraih populariti seterusnya mencecah rating tinggi apabila setiap kali ditayangkan kepada umum.

“Saya tak sangka sekali kerana drama ini meraih populariti yang begitu meluas & saya bersyukur lakonan saya diterima ramai selepas 10 tahun saya di Indonesia,” katanya.

Keith Foo turut menafikan bahawa dia tidak lagi ‘laku’ di Indonesia dan disebabkan itulah dia berhijrah ke Malaysia pula selepas 10 tahun berada di sana.

“Tidak sama sekali kerana saya masih mendapat tawaran di sana dan ada beberapa projek di sana. Selepas 10 tahun saya memikirkan sudah tiba masanya untuk saya berkhidmat untuk negara saya sendiri walaupun agak ‘cliche’ apa yang diperkatakan oleh saya ini. Tetapi inilah yang sebenarnya dan saya mahu fokus kerjaya saya di Malaysia,” ujarnya. (rtky/hfz)