fbpx

60 tahun yang lalu, 1954 sebuah filem berjudul Gojira arahan Ishiro Honda dalam bahasa Jepun terbitan Toho Co., Ltd. telah dibikin. Semenjak itulah filem dan siri televisyen yang menggunakan asas penceritaan menampilkan raksasa Godzilla atau ‘kaiju’ diulang berkali-kali menjadi francais dari negara Jepun yang dipasarkan ke seluruh dunia.

Godzilla (2014) ialah versi ke-2 hasil tangan pembikin Hollywood iaitu Gareth Edwards selepas Godzilla (1998) yang dahulunya diarahkan oleh Roland Emmerich. Filem kali ini bukan sekuel tetapi dianggap reboot atau dibikin semula dari asas yang sama mengenai serangan Godzilla ke negara Amerika dan beberapa pelosok bumi.

Filem ini bermula dengan paparan sejarah kononnya pada tahun 1954 selepas ujian bom Hidrogen oleh askar Amerika berhampiran sebuah kepulauan, sirip seekor ‘raksasa’ telah kelihatan muncul di permukaan laut. Di tahun 1999 pula, 2 orang saintis iaitu Dr. Ishiro Serizawa (Ken Watanabe) dan Dr. Vivienne Graham (Sally Hawkins) diarahkan untuk memeriksa penemuan aneh di bawah tanah sebuah lombong di Filipina.

GODZILLA (2)

Sementara itu di Tokyo, seorang penyelia sebuah pusat kuasa nuklear yang juga merupakan fakar fizik dan jurutera iaitu Joe Brody (Bryan Cranston) diarahkan untuk memeriksa gegaran yang dikhuatiri sebagai ancaman gempa bumi. Isterinya iaitu Sandra Brody (Juliette Binoche) yang juga rakan sekerja di situ telah diarahkan memeriksa kebocoran bahan nuklear dari gegaran itu.

15 tahun kemudian, 2014 anak tunggal kepada Joe dan Sandra iaitu Ford Brody (Aaron Taylor-Johnson) seorang tentera pakar pemati bom mendapat panggilan telefon untuk menjamin ayahnya, Brody yang ditangkap oleh pihak polis. Brody telah menceroboh kawasan larangan kuarantin iaitu perumahan mereka di Jepun dahulu.

Ok. Banyak kisah kekeluargaan Brody dan kajian oleh Dr. Serizawa di awal flem ini. Di manakah kisah raksasa Godzilla? Anda kena bersabar kerana filem ini akan semakin menarik dan mengembangkan kaitan-kaitan plot gempa bumi bumi, kegilaan konspirasi yang diteliti oleh Brody dan penemuan oleh Dr. Serizawa yang akan membongkar rahsia dari bawah tanah ke muka bumi sehingga menyebabkan kemunculan Godzilla dan aksi-aksi meletup sehingga ke penghujung filem.

Amaran: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler.

GODZILLA (12)

Oleh kerana francais filem Godzilla ialah milik Toho Co., Ltd maka ia memaparkan penceritaan di awalnya berlaku di bandar-bandar Jepun dengan pelakon-pelakon Jepun, dengan syarikat-syarikat Jepun. Berbanding filem versi 1998 yang melibatkan pakar saintis Amerika iaitu Dr. Niko “Nick” Tatopoulos, kali ini saintisnya berbangsa Jepun iaitu Dr. Ishiro Serizawa. Sudah tentu kerana watak raksasa Godzilla itu ialah rekaan asalnya milik Jepun serta untuk memudahkan pasaran besarnya di Jepun dan Asia.

Godzilla (2014) jujur kepada latar asas kisah-kisah raksasa itu sebelumnya. Filem ini menceritakan kenapa kemunculan Godzilla keluar dari dasar laut dengan lebih bersebab. Maksud saya, mungkin filem-filem terdahulu menyalahkan kajian atau serangan bom Hidrogen yang menembaknya sehingga ia mutasi menjadi lebih ganas atau mengganggu habitatnya bersembunyi selama ini. Maka ia keluar menjahanamkan desa dan kota manusia.

Godzilla kali ini seakan tidak peduli dengan serangan dari pihak tentera manusia kerana ia ada misi yang lebih penting untuk survival dirinya sendiri. Kenapa ia keluar? Kerana musuh ketatnya iaitu 2 ekor raksasa MUTO (Massive Unidentified Terrestrial Organism) kembali muncul ke permukaan bumi. Malahan saya tidak kisah kalau filem ini bertajuk ‘Godzilla vs MUTO’.

GODZILLA (7)

Muka bumi tempat kehidupan manusia jadi rosak binasa bukan kerana Godzilla sengaja, tetapi kerana ia sedang memburu dan bertempur dengan MUTO. Maka kita dan dunia jadi ‘collateral damage’ dek pertarungan mereka.

Kronologi penceritaan Godzilla juga masih jujur dengan keperluan-keperluan plot seperti filem terdahulu. Ia mesti ada pasukan tentera dimana kali ini ia diketuai oleh Rear Admiral William Stenz (David Strathairn) yang menyusun berbagai strategi ketenteraan untuk memusnahkan kesemua raksasa itu dari darat, laut dan udara. Begitu juga sekuen-sekuen babak chaos kemusnahan berbagai bangunan dan kekalutan orang awam di sana-sini. Yang paling wajib ialah laporan-laporan berita tergempar di televisyen.

Watak utama filem ini sudah tentulah susuk bentuk Godzilla itu yang berjaya direalisasikan dari imej janaan komputer (CGI). Sudah tentu ia dibikin dengan gah dan dalam skala mega lengkap dengan suara pekikan yang menggerunkan! Oh! Begitu juga MUTO.

Penampilan Bryan Cranston sebagai Joe Brody sebenarnya sangat bagus tetapi sekadar menjadi umpan dalam trailer sahaja kerana kesekejapan wataknya. Dr. Ishiro Serizawa lakonan Ken Watanabe pula sekadar tribute kepada nama gabungan pengarah filem Godzilla terdahulu iaitu Ishiro Honda dan nama watak Daisuke Serizawa dari filem 1954. Watak Serizawa lebih kepada pencerita dan pengkaji asal-usul MUTO sahaja.

GODZILLA (15)

Sudah lumrah perfileman mega raksasa sebegini, akan ditampilkan seorang ‘hero’ yang akan menjadi teraju utama, tetapi dalam Godzilla watak Ford Brody lakonan Aaron Taylor-Johnson cuma berkejar ke sana-sini untuk melunaskan misi ketenteraan yang sebenarnya gagal. Oklah, Ford berjaya bawa bom naik bot keluar jauh dari San Francisco supaya tak meletup dalam bandar.

Filem ini cuba sedaya-upaya seperti filem 1954 untuk menjalin drama kemanusiaan dari hubungan keluarga bapa-anak Joe dan Ford di awal-awal cerita. Sekali lagi plot bapa-anak-isteri diselitkan sekali-sekala di sepanjang filem iaitu hubungan keluarga Ford, isterinya Elle Brody (Elizabeth Olsen) dan anaknya yang juga ‘kebetulan’ tinggal di San Francisco.

KESIMPULAN

Godzilla (2014) ialah filem yang besar, sebesar raksasa-raksasa di dalamnya. Kalau anda rasakan Ultraman itu besar, yang ini lagi besar! 3 BIJI ROTIKAYA kami berikan.