fbpx

Reviu: The Hobbit An Unexpected Journey

The Hobbit: An Unexpected Journey (2012) ialah sebuah filem fantasi epik yang pertama dari trilogi filem diadaptasi dari buku untuk kanak-kanak berjudul The Hobbit (1937) tulisan J.R.R. Tolkien.

Filem ini pula ialah arahan Peter Jackson yang telah membikin filem trilogi Lord of the Rings (2001, 2002, 2003). Filem trilogi The Hobbit: An Unexpected Journey (2012), The Desolation of Smaug (2013) dan There and Back Again (2014) ialah prekuel kepada siri filem LOTR.

The Hobbit: An Unexpected Journey @ THAUJ berkisar mengenai pengembaraan Bilbo Baggins (Martin Freeman) bersama 13 orang kerdil yang diketuai oleh Thorin Oakenshield (Richard Armitage) serta diiringi oleh ahli sihir Gandalf (Ian McKellen). Thorin hendak menuntut semula kampung pergunungan milik mereka iaitu Lonely Mountain yang kini dirampas oleh seekor naga bernama Smaug. THAUJ berlaku 60 tahun sebelum kisah dalam filem siri filem LOTR.

Filem ini berdurasi panjang hampir 3 jam. Seperti juga siri filem LOTR, ia masih mengekalkan kronologi penceritaan yang bersegmen mengikut lokasi persinggahan Bilbo dan kumpulan orang kerdil menuju ke destinasi utamanya.

Sudah tentu berbagai halangan dan dugaan terpaksa didepani oleh mereka dalam bentuk berbagai puak raksasa dan makhluk serta kejadian alam yang aneh dan menakjubkan di Middle-earth.

Tunjang utama plot filem ini ialah untuk menakluk semula Lonely Mountain yang dipikul oleh Thorin dan pengikutnya menjadi asas penceritaan. Namun begitu, memandangkan THAUJ ialah prekuel kepada LOTR, ia menceritakan asal-usul konflik di antara Bilbo dan Gollum berkaitan cincin One Ring.

Selain watak Gandalf, filem ini juga menampilkan cameo watak-watak penting dalam siri LOTR sebagai latar belakang iaitu Saruman the White (Christopher Lee), Galadriel (Cate Blanchett) dan Elrond (Hugo Weaving).

Selepas kehebatan teknologi pembikinan filem Avatar (2009) dan Life of Pi (2012), saya rasakan THAUJ filem terbaru arahan Peter Jackson ini menjadi ‘kebiasaan’ sahaja kerana teknik pembikinan filem fantasi epik sebegini semakin berlambak di pasaran. Peter seakan mengulang formula yang sama seperti siri filem LOTR dari sudut kronologi penceritaannya.

Trilogi filem The Hobbit dikembangkan hanya dari sebuah buku sahaja berbanding LOTR yang sememangnya diadaptasi dari 3 buah buku yang berasingan. Pembikinan siri filem The Hobbit dikatakan hanyalah untuk mengaut keuntungan hasil dari populariti siri filem LOTR.

how to get your ex back

lignnone size-full wp-image-35477″ width=”720″ />

Keseronokan menonton THAUJ lebih kepada babak-babak pertarungan yang sudah tentu disumbat dengan teknik imej janaan komputer (CGI) dan muzik latar yang mendebarkan. Berbanding siri filem LOTR yang mempunyai berbagai konflik politik di antara puak-puak di Middle-earth dan misi pengembaraan Frodo Baggins, THAUJ kekurangan konflik sebegitu.

Perwatakan Thorin Oakenshield dalam THAUJ seakan-akan menyalin semula identiti hero Aragorn dalam LOTR. Tambahan pula, pertarungan-pertarungan kali ini lebih banyak diselamatkan oleh kemunculan Gandalf dengan kehebatan sihirnya di saat-saat akhir. Bila difikirkan semula lebih baik Gandalf jadi hero utama berlawan seorang diri?

THAUJ masih saya kategorikan sebagai sebuah filem yang menghiburkan seandainya anda ialah salah seorang peminat tegar siri filem LOTR. Ia masih mengekalkan visual ber-CGI yang menakjubkan. Malahan buat pertama kali sebuah filem dibikin dengan kualiti video yang lebih berdefinisi tinggi 48fps berbanding filem lain cuma 24fps untuk tontonan 3D yang lebih hebat, katanya! Namun begitu bagi penonton yang mengharapkan ceritanya sepadat LOTR, mungkin akan agak kecewa.

Ia perlu ditonton untuk lebih mengenali siapakah watak Bilbo Baggins, mendengar koleksi kata-kata azimat dari Gandalf serta mengimbas kenangan pada watak dwi-identiti Gollum lakonan ber-CGI sepenuhnya oleh Andy Serkis. Siapakah pula 3 orang lagi ahli sihir selain Gandalf dan Saruman? Ia juga untuk menambah ‘pengetahuan’ bagaimana rupa-bentuk golongan raksasa dan makhluk yang bersaiz maha besar serta alam Middle-earth yang ‘bergaduh’. Mungkin filem ini tiada watak ‘manusia’ seperti Aragorn dalam LOTR, tetapi ia ada sekumpulan orang-orang kerdil yang berjiwa kental dan keberanian yang besar. Kita tunggu Smaug ‘bangun’ dari tidurnya di filem akan datang!

Di tahun 2001 dahulu, siri filem LOTR ialah pencetus kepada revolusi pembikinan filem fantasi epik yang memanipulasikan sebahagian besar paparan visual melalui teknik imej janaan komputer (CGI) untuk menghasilkan babak-babak yang gah! Di tahun 2012, penonton masakini yang sudah terdedah kepada banyak filem ber-CGI akan lebih peka membezakan babak manakah yang kelihatan palsu?

Kesimpulan: The Hobbit: An Unexpected Journey – Pengembaraannya bukanlah sangat sukar untuk dijangka. Ia boleh dilayan sebagai sebuah filem aksi bertih jagung yang ‘mindless’ dan saya berikan 3 ROTIKAYA.

zp8497586rq