The Hobbit: An Unexpected Journey (2012) ialah sebuah filem fantasi epik yang pertama dari trilogi filem diadaptasi dari buku untuk kanak-kanak berjudul The Hobbit (1937) tulisan J.R.R. Tolkien.

Filem ini pula ialah arahan Peter Jackson yang telah membikin filem trilogi Lord of the Rings (2001, 2002, 2003). Filem trilogi The Hobbit: An Unexpected Journey (2012), The Desolation of Smaug (2013) dan There and Back Again (2014) ialah prekuel kepada siri filem LOTR.


The Hobbit: An Unexpected Journey @ THAUJ berkisar mengenai pengembaraan Bilbo Baggins (Martin Freeman) bersama 13 orang kerdil yang diketuai oleh Thorin Oakenshield (Richard Armitage) serta diiringi oleh ahli sihir Gandalf (Ian McKellen). Thorin hendak menuntut semula kampung pergunungan milik mereka iaitu Lonely Mountain yang kini dirampas oleh seekor naga bernama Smaug. THAUJ berlaku 60 tahun sebelum kisah dalam filem siri filem LOTR.

Filem ini berdurasi panjang hampir 3 jam. Seperti juga siri filem LOTR, ia masih mengekalkan kronologi penceritaan yang bersegmen mengikut lokasi persinggahan Bilbo dan kumpulan orang kerdil menuju ke destinasi utamanya.

Sudah tentu berbagai halangan dan dugaan terpaksa didepani oleh mereka dalam bentuk berbagai puak raksasa dan makhluk serta kejadian alam yang aneh dan menakjubkan di Middle-earth.


Tunjang utama plot filem ini ialah untuk menakluk semula Lonely Mountain yang dipikul oleh Thorin dan pengikutnya menjadi asas penceritaan. Namun begitu, memandangkan THAUJ ialah prekuel kepada LOTR, ia menceritakan asal-usul konflik di antara Bilbo dan Gollum berkaitan cincin One Ring.

Selain watak Gandalf, filem ini juga menampilkan cameo watak-watak penting dalam siri LOTR sebagai latar belakang iaitu Saruman the White (Christopher Lee), Galadriel (Cate Blanchett) dan Elrond (Hugo Weaving).

Selepas kehebatan teknologi pembikinan filem Avatar (2009) dan Life of Pi (2012), saya rasakan THAUJ filem terbaru arahan Peter Jackson ini menjadi ‘kebiasaan’ sahaja kerana teknik pembikinan filem fantasi epik sebegini semakin berlambak di pasaran. Peter seakan mengulang formula yang sama seperti siri filem LOTR dari sudut kronologi penceritaannya.

Trilogi filem The Hobbit dikembangkan hanya dari sebuah buku sahaja berbanding LOTR yang sememangnya diadaptasi dari 3 buah buku yang berasingan. Pembikinan siri filem The Hobbit dikatakan hanyalah untuk mengaut keuntungan hasil dari populariti siri filem LOTR.

how to get your ex back