fbpx

Transcendence, Bila Manusia Cuba Menjadi Tuhan

Menonton sebuah filem techno-thriller, saya harus berfikiran terbuka kepada sesuatu yang moden. Hasil penontonan sesebuah filem sebegitu, sewajarnya mampu mengajak saya merenung tentang kemungkinan kemampuan sains dan teknologi di masa hadapan? Transcendence (2014) ialah sebuah filem techno-thriller dan fiksyen sains arahan Wally Pfister yang terkenal sebagai pengarah fotografi untuk filem Inception (2010) yang telah melonjakkan nama beliau.

Kisahnya bermula begini; Dr. Will Caster (Johnny Depp) ialah seorang saintis pakar dalam kajian artificial intelligence (AI). Dia sedang dalam fasa akhir untuk menghasilkan rekaan mesin ‘Transcendence’ yang hampir sempurna mempunyai gabungan sedikit naluri dan kepandaian perisian komputer dinamakan P.I.N.N. (Physically Independent Neural Network). Kajian Will dibantu rapat oleh 2 orang lagi saintis iaitu isterinya, Evelyn Caster (Rebecca Hall) dan rakan karib mereka, Max Waters (Paul Bettany).

Cita-cita besar Will itu ditentang oleh kumpulan anti-teknologi gerakan bawah tanah bergelar R.I.F.T. (Independence From Technology) yang diketuai oleh Bree (Kate Mara). Kumpulan itu melancarkan serangan ala pengganas ke beberapa makmal kajian P.I.N.N. secara serentak di seluruh dunia. Will juga menjadi salah satu target utama serangan mereka sehingga menyebabkan dia tercedera hingga nyawa-nyawa ikan! Apa yang berlaku seterusnya kepada Will dan kajian P.I.N.N. itu? Ya! Maka bersegeralah kalian ke pawagam sekarang.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler.

TRANSCENDENCE

Transcendence tidak dinafikan ialah sebuah filem yang hebat dari kerja kameranya. Ia filem fiksyen sains yang mahu kelihatan ‘hidup’ sebagai sebuah drama menghampiri realiti seperti garapan filem Gravity dan Man of Steel tahun lalu, 2013. Maksud saya, pemaparan visual dan suntingannya begitu ketara hendak menjadi kisah yang benar-benar berlaku. Walaupun kisah hubung kait manusia dan mesin dalam Transcendence mirip filem A.I. Artificial Intelligence (2001), I Robot (2004) dan paling dekat dengan kisah Her (2013) tetapi rupa dan latar filem ini seboleh-bolehnya tidak mahu nampak ‘futuristic’ langsung. Bagus!

Ok. Filem ini sebenarnya sangat berpotensi tinggi untuk menjadi sebuah filem yang baik mengenai persepsi dan tekaan kemajuan teknologi hari ini yang akan menjadi kenyataan di masa akan datang. Idea mengupas kemungkinan wujudnya super-computer sebijak dan sebijik kemampuan emosi dan perasaan manusia iaitu pemikiran dari otak Will yang digabungkan dengan perisian komputer dalam versi P.I.N.N. ialah konsep tinggi untuk difilemkan.

TRANSCENDENCE

Namun begitu, Transcendence telah merencahkan idea besar mengenai kisah Will atau mesin yang mahu menjadi seperti ‘Dewa’ pencipta kehidupan baru dunia tetapi disepahkan dengan terlalu banyak plot lain yang meleret-leret tanpa mengembangkan dan menyimpulkan semuanya dengan baik. Saya suka dengan penambahan konflik dan kontra oleh kumpulan R.I.F.T. dari ideologi asal kenapa mereka mahu menentang kajian oleh Will. Malahan kejutan ironi apabila Bree memberitahu Max bahawa kewujudan kumpulannya bermula tercetus dari cerapan kenyataan satu artikel dari Max sendiri.

Kawan menjadi lawan, ia suatu kisah yang dramatik. Max sendiri yang sukarela membantu Evelyn untuk memuatnaik pemikiran Will ke dalam P.I.N.N. Akhirnya Max juga yang gusar sama ada ia benar-benar Will atau ‘raksasa’ ciptaannya dan Evelyn? Lantas kegilaan dan ketaksuban Evelyn pula dihasut oleh perasaan cintanya kepada Will untuk kisah pengembangan seterusnya. Waktu yang sama, hubungan pakar komputer Joseph Tagger (Morgan Freeman) dan ejen FBI, Donald Buchanan (Cillian Murphy) menjejaki kegiatan R.I.F.T. juga sesuatu yang menarik. Tetapi ia menjadi kisah polis siber yang amatur apabila projek Will dan Evelyn berjaya sampai terbinanya makmal canggih selepas bertahun-tahun tanpa berjaya dikesan langsung? Hello!

T11

Transcendence mula terbarai dan semakin terasa mengantuk selepas babak-babak kejayaan penciptaan Will versi P.I.N.N dan penjejakan havoc oleh kumpulan R.I.F.T. dimana kronologi pembinaan bangunan berteknologi tinggi, Brightwood Data Center oleh arahan dan seliaan Evelyn di sebuah pekan kecil terpencil.

Di situ, penceritaan filem ini seperti hilang punca dan dorman dimana yang dipaparkan seiras filem pendek cedokan dari kesunyian dan kebergantungan watak Theodore Twombly kepada Samantha dalam filem Her (2013) apabila Evelyn semakin mempercayai kewujudan dan kesempurnaan Will yang seolah ‘dilahirkan’ semula.

Persoalannya adakah ‘Will’ ialah sebenar-benar Will Caster? Jawapan ada di hujung filem dari monolog voice-over oleh Will dan Max.

Dari sudut lakonan, Johnny Depp awalnya sebagai seorang saintis pakar komputer bolehlah tahan tetapi semakin kaku dan biasa-biasa sahaja selepas ‘terperangkap’ dalam ruang lakonan terhad di skrin komputer di makmal itu dengan mimik muka yang tanpa perasaan sebab dia hanyalah data komputer. Yang sangat menyerlah ialah lakonan oleh Rebecca Hall dan Paul Bettany yang terbukti mampu beremosi. Yang lain-lain, sekejap ada sekejap tiada dan segera mudah dilupakan.

T9

Pujian boleh diberikan selain sinematografi yang bagus ialah beberapa babak ber-CGI penyebaran zarah-zarah, molekul-molekul dan partikel-partikel yang berterbangan dan bertebaran ke udara. Best lah! Aksi-aksi pergaduhan, tembak-menembak dan kejar-mengejar ke babak-babak akhir juga mampu menyegarkankan semula rasa kekontangan penontonan filem ini.

“The internet was meant to make the world a smaller place. But it actually feels smaller without it” kata Max Waters. Mungkin filem ini akan menjadi ‘cult’ kepada generasi cyberpunk tegar yang begitu taksub kepada internet suatu hari nanti, di masa akan datang. Siapa tahu?

KESIMPULAN

Transcendence ialah filem yang bercita-cita besar dengan bajet yang besar, tetapi memberi impak yang agak kecil. Saya suka. Saya tak suka. Bercampur-baur.

Saya berikan 3 BIJI ROTIKAYA.