fbpx

Filem Minggu Ini: Rio 2

Anggapan pertama saya bila hendak menonton sebuah filem kartun dengan poster yang comel, mungkin ceritanya biasa-biasa mudah sahaja kerana sasaran utamanya ialah kanak-kanak dan ibu bapa yang perlu menemani anak-anak. Ia sudah tentu berunsurkan hiburan untuk seisi keluarga dengan klasifikasi U oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) iaitu ‘keseluruhan bahan sesuai ditonton oleh semua golongan masyarakat’. Tambahan pula ini filem sekuel dimana yang pertama dahulu kisahnya begitu ‘jinak’ mengenai sepasang burung dan rakan-rakannya.

Rio 2 (2014) ialah sebuah filem komedi muzikal animasi-komputer dalam versi 3D sambungan dari filem terawalnya, Rio (2011). Sekali lagi ia diarahkan oleh Carlos Saldanha yang juga terkenal dengan pengarahan dan penerbitan francais siri filem Ice Age yang sangat meletup di pasaran. Walaupun judulnya masih mengekalkan ‘Rio’ tetapi sebahagian besar ceritanya berlaku di hutan Amazon. Muzikal? Ya! Kali ini filemnya lebih menari-nari dan sangat berpesta warna-warni!

Kepada penggemar filem pertamanya dahulu, sudah tentu mengenali pasangan burung Macaw warna biru iaitu yang jantan, Blu (Jesse Eisenberg) dan yang betina Jewel (Anne Hathaway) serta rakan-rakannya yang lain di Rio, Brazil. Sila tonton DVD Rio (2011) terlebih dahulu untuk mengetahui kisah asal-usul pasangan romantik Blu-Jewel.

RIO2-2

Rio 2 kali ini pula ialah kisah sambungannya beberapa tahun kemudian apabila Blu dan Jewel sudah mempunyai 3 ekor anak iaitu Carla (Rachel Crow), Bia (Amandla Stenberg) dan Tiago (Pierce Gagnon). Manakala pasangan manusia yang kini juga sudah berkahwin yakni bekas penjaga Blu sejak kecil ialah Linda Gunderson (Leslie Mann) dengan Tulio Monteiro (Rodrigo Santoro).

Filem ini juga masih mengekalkan kawan-kawan beburung Blu iaitu Rafael (George Lopez), Nico (Jamie Foxx), Pedro (will.i.am) dan seekor anjing, Luiz (Tracy Morgan). Penjahat dari filem pertama juga kembali iaitu seekor burung Cockatoo bernama Nigel (Jemaine Clement) yang kini ada sidekick pembantu watak baru penjahat iaitu seekor katak beracun, Gabi (Kristin Chenoweth) dan seekor tenggiling tanpa dialog bernama Charlie. Ketua konco pembalak haram pula ialah Big Boss (Miguel Ferrer).

Ok! Anda tidak perlu menghafal nama-nama mereka ya!

Kejutan kepada kehidupan aman Blu berlaku apabila Linda dan Tulio melaporkan di televisyen yang mengesyaki bahawa Blu, Jewel dan anak-anaknya bukanlah burung Macaw warna biru yang terakhir, tetapi spesis itu masih banyak membiak di hutan Amazon. Lantas Jewel mengajak Blu dan anak-anaknya untuk terbang dari Rio ke hutan Amazon untuk mencari keluarga dan keturunannya yang lain.

RIO2-1

Maka pengembaraan dan penerbangan yang tidak diduga dan agak keberatan oleh Blu ditemani rakan-rakan burung yang lain, Rafael, Nico dan Pedro. Anda sekeluarga kenalah ke pawagam sekarang untuk menyaksikan apakah yang akan berlaku seterusnya kepada Blu dan burung-burung itu?

Rio 2 dibarisi terlalu ramai watak dan begitu banyak cabang plot seperti melepaskan batuk di tangga. Maksud saya, filem ini terlalu bercita-cita besar untuk bercerita kisah yang lebih besar dari filem pertamanya dahulu. Kali ini, isu pembalakan haram di hutan Amazon yang mungkin kedengaran bagus tetapi berselari dengan kisah konflik kekeluargaan yang dihadapi oleh Blu. Ditambah pula kisah perebutan kawasan di antara kumpulan burung Macaw warna biru melawan warna merah.

Plot dendam kesumat oleh Nigel kepada Blu juga dipanjangkan serentak. Malahan kisah Linda dan Tulio yang mencari spesis burung Macaw juga ialah satu lagi naratif. Tidak lupa, kini kawan-kawan Blu iaitu Rafael, Nico dan Pedro yang sedang sibuk membuat sesi ujibakat untuk sebuah persembahan mega oleh semua haiwan di hutan Amazon!

Namun begitu, apa yang menyelamatkan penceritaannya ialah segmen-segmen visual muzikal yang meriah dan ceria. Juga dibantu dalam babak-babak lucu yang mampu dicetuskan dari bahagian yang tidak begitu penting kepada kisah utama watak Blu iaitu misalnya sesi ujibakat persembahan yang berbagai-bagai bentuk dari berbagai spesis binatang di hutan itu. Penampilan kembali watak Nigel dan percintaannya yang tidak masuk akal dengan kegilaan obses oleh watak Gabi juga sangat kelakar. Ditambah dengan sesekali aksi naif oleh si tenggiling Charlie.

RIO2-7

Yang paling mencuri perhatian saya ialah persembahan nyanyian oleh Nigel melalui lagu ‘I Will Survive’ serta persembahan Bruno Mars dalam versi burung watak Roberto menyanyikan lagu ‘Welcome Back’ juga nyanyian Gabi/Nigel lagu ‘Poisonous Love’. Sila cari di Youtube ya!

Kisah watak utama, Blu sebenarnya menarik juga. Tetapi sekadar seperti tekapan dari kisah filem Meet the Parents (2000) dimana konflik Blu dengan bapa mertuanya, Eduardo (Andy García) serta perebutan perhatian Blu kepada isterinya yang kini bersaing dengan bekas kekasih Jewel iaitu Roberto boleh dijangka dan klise versi animasi-komputer. Cerita Blu membesarkan anak-anak yang semakin moden juga ialah mimikan apa yang berlaku dalam kehidupan manusia kini. Waktu yang sama ia juga mengenai Blu yang terlalu bergantung kepada kecanggihan alat GPS dan peralatan dalam pouch-bag yang sepatutnya janggal kepada burung. Eh?

RIO2-10

Akibat dari terlalu banyak plot yang hendak diceritakan berselang-seli menjadikan filem ini terasa seakan memenatkan dan berserabut untuk diikuti satu-persatu. Tidak tahulah sama ada penonton kanak-kanak akan merasa bosan atau keliru? Pada saya, filem ini sudah mencuba sebaik-mungkin untuk bercerita kisah dalaman keluarga Blu dan konflik luaran kehidupan Blu sebagai hero penghuni asing di seluruh hutan Amazon untuk menyelamatkan habitat semulajadi mereka yang semakin terancam. Ok! Saya tidak perlu terlalu serius untuk mengulas filem animasi yang jelas sekali sekadar memanjangkan kisah filem pertamanya dahulu untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin dek kerana populariti Rio (2011).

KESIMPULAN

Rio (2014) ialah sebuah filem animasi yang terlalu berwarna-warni tetapi mudah dilupakan. Mungkinlah ringkasannya ialah ‘marilah kembali ke asal-usul di kampung?.. Saya sudi berikan 3 BIJI ROTIKAYA sahaja.