fbpx

Bunga Citra Lestari Mahu Menetap Di Malaysia?

Pelakon dan juga penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), memberitahu sekiranya diberi peluang dia mahu menetap lebih lama di Malaysia untuk mengembangkan kariernya di sini malah turut bersedia sekiranya diberi peluang untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat produksi tempatan.

BACA: Ashraf Sinclair & Isteri Kongsi Gambar Percutian Di Greece

“Saya sudah bersedia sekiranya ada yang memberikan tawaran untuk bekerjasama di sini. Sebenarnya tiga bulan lepas saya kerap berulang-alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur kerana program Maharaja Lawak Mega (MLM) serta lagu saya pun sudah dilancarkan di sini”

“Kalau boleh memang mahu tinggal lebih lama di KL untuk bekerjasama dengan syarikat produksi di sini. Saya juga selalu mencari alasan untuk datang semula dan tinggal lebih lama di KL,” katanya yang ditemui di Majlis Tayangan Filem My Stupid Boss kelmarin.

Tambahnya lagi, melihatkan karier suaminya Ashraf yang turut bersinar dan diterima baik di Indonesia nyata membuatkan semangatnya untuk meluaskan kariernya di Malaysia berkobar-kobar.

“Kalau boleh kedua-dua negara saya mahu berjalan bersama, kerana saya melihat Ashraf boleh melakukan serta mempunyai karier yang baik di Indonesia, kenapa tidak saya bekerja di KL juga. Indonesia sangat menerima Ashraf dengan begitu baik, harapan saya juga bisa diterima baik di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Filem My Stupid Boss lakonan pelakon antar dua negara membabitkan Reza Rahadian, Bunga Citra Lestari, Bront Palarae, dan Atikah Suhaime bakal ditayangkan serentak di Indonesia dan Malaysia pada 19 Mei ini. (rtky/s)