fbpx

Aeril Zafrel, Wawa Zainal Tidak Mahu Kenang Kisah Lepas

Suatu ketika dahulu pasangan suami isteri telah dilanda kontroversi dan kini mereka nampaknya bahagia melalui fasa-fasa perkahwinan dan telah dikurniakan seorang anak lelaki yang kini telah memasuki usia 9 bulan.

Bertemu Aeril Zafrel dan isterinya Wawa Zainal di sambutan ulang tahun ke-30 TV3 di Sri Pentas semalam telah menceritakan serba sedikit mengenai karier dan juga kehidupan mereka selepas kontroversi tersebut dan mereka bersepakat bahawa tidak mahu lagi mengingati kisah silam tersebut dan mahu terus maju ke hadapan.

“Bagi saya benda lama, tak payah ingat balik, masing-masing ada sejarah,dan kami pula dalam proses perubahan. Sesetengah orang memang tidak suka apa yang kami lakukan dan ada juga yang menyokong apa yang kami lakukan sekarang ini,” ujar Aeril.

Manakala isterinya pula, Wawa Zainal memberitahu bahawa sekarang tidak ada lagi kesedihan yang dihadapi olehnya malah sangat bahagia dengan keluarga mereka kini.

“Rasanya tidak ada lagi kesedihan yang saya alami, saya sangat bahagia dengan kehidupan sekarang dan saya tidak kisah lagi perkara-perkara yang sudah berlaku sebelum ini. Anak adalah pengikat kami bersama ketika ini,” katanya manis.

Aeril Tak Mahu Libat Anak Dalam Seni, Mahu Tambah Zuriat

Sementara itu, Aeril turut memberitahu bahawa sekiranya boleh dia tidak mahu dedahkan anak dalam aktiviti seninya dan biarlah anaknya itu membesar sebagai orang biasa dan bukannya selebriti sepertinya.

“Kalau boleh saya tak mahu dedahkan dia dalam aktiviti seni, dan buat masa sekarang sekiranya dipanggil untuk photo shoot atau hendak dijadikan dia untuk iklan iklan komersial rasanya saya tidak benarkannya lagi, kerana biarlah dia besar sikit sekarang baru 9 bulan”

“Tapi yang lain lain kalau boleh saya tak mahu dia melibatkan diri dalam aktiviti seni bukan apa susah untuk diri dia sendiri dan saya mahu dia ada privasinya sendiri dan tak mahu dia rimas,” katanya panjang lebar.

Sambil berseloroh juga Aeril Zafrel ada memberitahu bahawa dia tidak sabar dan mahukan lagi cahaya mata yang kedua.

“Mungkin tahun hadapan,” katanya sambil ketawa.

Walaubagaimanapun, Wawa Zainal berkata dia mahu berehat seketika kerana masih ada penat menjaga anaknya, Attar yang kini semakin aktif dan tidak menolak sekiranya diberikan rezeki cahaya mata mereka yang kedua. (rtky/hfz)