Baru-baru ini hangat diperkatakan apabila tular foto berpuluh kereta mewah yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkenaan sindiket Macau Scam.
Malah, kecoh apabila ada yang mendakwa salah satu kereta yang tular adalah milik Shuib Sepahtu. Mengakui kereta tersebut adalah miliknya, Shuib berkata sudah menjadi kewajipannya untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
BACA: Lepas Dakwa Kereta Disita, Netizen Dakwa Harga Jam Tangan Shuib Cecah RM4 Juta
“Ya memang kereta yang tular tempoh hari milik saya. Alhamdulillah kereta itu sudah dikembalikan.
“Saya tahu pelbagai fitnah yang bertebaran di laman sosial buat masa ini, namun perlu saya hormati pihak berkuasa yang masih menjalankan siasatan. Tiada komen lain yang ingin saya kongsi selain mahu memberi fokus buat kerjaya dan perniagaan saya kini,” katanya kepada Utusan Online.
Turut memuat naik gambarnya bersama kereta tersebut di Instagram semalam, Shuib berkata tujuannya berkongsikan gambar berkenaan adalah untuk meluahkan rasa syukur selepas berdepan dugaan.
“Bukan mahu riak, tetapi jelas menunjukkan betapa saya dan isteri sangat bersyukur dapat melalui dugaan ini bersama.
“Banyak yang saya belajar sebenarnya, bagaimana satu gambar juga mampu menimbulkan pelbagai spekulasi,” katanya lagi.
Beberapa minggu lalu Shuib dan Sarah menjadi perhatian apabila dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.