Pelakon Zahirah MacWilson memuat naik video permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya mengenai sambutan Krismas, Easter dan Halloween.
Menerusi video dimuat naik di Instagram, Zahirah yang dilihat menangis menjelaskan dia tiada niat menyinggung mana-mana pihak serta terus memadam hantaran tersebut selepas menyedari ianya mengguris perasaan orang lain.
BACA: Zahirah MacWilson Mohon Maaf Kenyataan Tentang Krismas, Halloween
“Saya terus memadamkannya kerana sedar hantaran itu boleh menyinggung perasaan orang lain, sedangkan itu bukan niat saya.
“Saya mengakui telah menyamakan tiga sambutan tersebut tanpa berfikir panjang. Saya juga sama sekali tidak berniat melabelkan sambutan suci seperti Krismas dan Easter sebagai sesuatu yang bersifat syaitan atau jahat.
“Saya sangat menghormati kepelbagaian budaya, agama dan kepercayaan yang menjadikan masyarakat kita begitu istimewa,” katanya.
Sementara itu, Zahirah menyedari dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh kepercayaan agama lain serta kesal dengan tindakannya itu.
“Saya sedar kenyataan saya itu tidak tepat, tidak sensitif terhadap budaya dan langsung tidak sepatutnya dibuat. Sebagai seorang figura awam, saya sepatutnya lebih berhati-hati dengan setiap perkara yang diperkatakan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal agama dan tradisi.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah saya katakan dan saya benar-benar minta maaf atas kejahilan saya,” katanya.