Kenapa penonton mahu menonton sesebuah filem seram? Jawapannya mudah iaitu mahu merasai perasaan ketakutan semasa penontonan sebagai hiburan semata-mata. Mungkin juga keseraman yang dilalui itu boleh diceritakan kepada kawan-kawan atau dikongsi di media sosial.

VILLA NABILA (2015) ini ialah salah sebuah filem seram terbitan Viper Studios dan SKOP Productions yang boleh dikatakan baik bikinannya dari produksi filem tempatan setakat ini, tahun ini. Ia seperti filem-filem ‘urband legend’ sebelumnya iaitu Karak (2011) dan Highland Tower (2013) yang nyata sekali mengambil asasnya dari kisah-kisah berhantu yang pernah digembar-gemburkan di kalangan masyarakat sebagai tarikan utama pemasaran.


Filem ini terbahagi kepada 2 segmen. Bahagian yang pertama ialah paparan dokumentari kajian mendalam mengenai latar belakang banglo Villa Nabila dari sumber media cetak, media elektronik dan media digital atau internet yang diadun sebagai sebuah filem pendek oleh Daniel Matiin dan Rosalli Azlin. Manakala bahagian kedua ialah filem cereka eksperimental arahan Syafiq Yusof yang dibikin semula berdasarkan temu bual pihak produksi dengan 2 orang pekerja kontrak bernama Asyraf dan Amar yang terlibat dalam kerja-kerja untuk merobohkan rumah itu.


AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

VillaNabila-rotikaya7



Lakon semula di lokasi sebenar – itu tagline yang digunakan untuk promosi filem ini. Susunan penceritaannya seumpama menonton sebuah dokumentari yang berskala besar kerana ia ditayangkan di pawagam, walaupun berbajet murah. Permulaannya memaparkan info-info mistik dan misteri yang pernah berlaku di situ dari kacamata masyarakat setempat dan pihak polis. Yang paling penting ialah wawancara dengan salah seorang remaja yang dikhabarkan hilang di situ dan kembali ditemui.

Kemudian, filem pendek yang dibikin oleh Daniel dan Rosalli membawa penonton secara terus ke Villa Nabila. Nah! Itulah suasana sebenar waktu malam di dalam dan luar banglo yang dikatakan berpuaka itu. Segmen itu memberikan perkongsian mata dan telinga kepada penonton melalui tangkapan kamera mengiringi Daniel yang petah menerangkan setiap perincian ruang-ruang bilik serta landskap Villa Nabila. Saya menunggu juga seandainya Daniel disergah oleh hantu, namun tiada apa-apa pun yang berlaku. Cuma keseraman mula terasa sekiranya anda cuba mencari-cari dari mana-mana sudut paparan kamera, manalah tahu ternampak sesuatu yang tidak disangka.

Segmen ke-2 arahan Syafiq dihasilkan dengan kemas sebagai sebuah penceritaan yang ditekap atau diadaptasi dari kisah-kisah yang diceritakan semula dalam bentuk fiksyen. Kemunculan Asyraf dan Amar sebagai orang awam sebenar yang ditemuramah menceritakan perihal apa yang telah mereka lalui selama bekerja di Villa Nabila, diselang-seli dengan lakon semula oleh Asyraf (Pekin Ibrahim) dan Amar serta watak-watak lain yang terlibat dengan kerja perobohan itu. Sama ada mereka bercakap benar atau bohong, hanya Tuhan yang tahu.

VillaNabila-rotikaya4

Seperti biasa, Pekin menjiwai wataknya dengan betul dan meyakinkan. Watak isteri Asyraf iaitu Huda (Tisha Shamsir) juga nampak serasi. Penampilan pelakon lain yang tidak dikenali dimana khabarnya dimuatkan dalam filem ini setelah melalui ujibakat khas untuk projek filem ini, sekadar menambah ramai watak yang akan disergah atau dirasuk.

Villa Nabila ialah filem seram yang diceritakan secara kasar dan rawak melalui rakaman video peribadi oleh Daniel dan Rosalli yang digabung dengan pembikinan filem cereka oleh Syafiq yang lebih terkawal kualiti produksinya. Adunan kedua-dua filem pendek itu melengkapkan ia menjadi sebuah filem besar yang bersambungan. Jika difikirkan semula, susunan sekuen sebegitu menjadikan Villa Nabila bermula dengan kisah realiti dan diakhiri dengan cerita rekaan semata.

VillaNabila-rotikaya1

Ia menjadikan pengalaman menyeramkan itu ditanam awal-awal lagi ke dalam pemikiran penonton bahawa ia sesuatu yang benar-benar terjadi atau fakta, walaupun tiada hantu. Kemudian apabila penonton masuk ke dalam naratif oleh Syafiq, penonton diberikan sesuatu yang ditunggu-tunggu iaitu kemunculan hantu yang menakutkan, sedangkan ia cuma pelakon yang disolek sebagai ‘hantu’. Inilah permainan yang boleh dikatakan berhasil dari suntingan dan kesan khas oleh pihak produksi. Tambahan pula filem ini membuat penggambaran di lokasi sebenar, Villa Nabila.

Filem ini keutamaannya bukanlah apa dan kenapa hantu itu menjelma dan mengganggu Asyraf dan rakan sekerjanya, tetapi rumah kosong terbiar Villa Nabila itu sendiri yang menjadi pentas dan konflik utama. Sehingga selesai pun filem ini ditonton, ia tidak memberikan sebarang asal-usul atau backstory tentang makhluk halus itu sebenarnya berpunca dari mana?

Adakah ia jin dan syaitan yang sememangnya menghuni Villa Nabila ialah saka oleh pemilik rumah asal atau ia puaka yang memang dibuang ke situ atau datang sendiri mencari kediamannya? Filem ini tiada konklusi atau penyelesaian apa-apa kepada semua gangguan itu. Ia cuma bermain dengan emosi penonton babak demi babak yang mampu menimbulkan ketakutan. Saya akui ia berjaya sebagai sebuah filem seram yang sangat menyeramkan.

KESIMPULAN

VillaNabila-rotikaya2

Villa Nabila hanyalah sebuah banglo yang menjadi popular kerana ia dikatakan berhantu. Filem Villa Nabila (2015) pula ialah kisah yang akan memperkenalkan lagi rumah itu dan memperkukuhkan lagendanya bahawa ia mungkin benar-benar berhantu? Pergilah tonton sendiri.

Filem ini saya OK untuk berikan 4 BIJI ROTIKAYA.