fbpx

“Usia Nak Masuk 40 Tahun, Masih Tiada Zuriat. Doakan Saya”

Meskipun hanya dapat merasai pengalaman hamil buat seketika tahun lalu, pelakon Siti Elizad berkata dia tidak akan berputus asa dan akan terus berdoa.

Menurut Elizad, dia bersangka baik dengan ujian Allah serta akan kembali menjalani proses rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekali lagi pada tahun ini.

BACA: Siti Elizad Takut Suami Bosan Belum Ada Rezeki Bagi Zuriat

“Tahun lalu saya keguguran. Namun, saya takkan berputus asa dengan apa yang berlaku. Saya selalu positif dan akan terus berdoa.

“Jadi, tahun ini harapnya datang semangat semula untuk terus mencuba. Tengok kawan-kawan seangkatan serta yang sebaya ramai dah jadi ibu, buat saya teruja. Saya risau lagi dua, tiga tahun usia nak masuk 40-an dan saya masih tiada zuriat. Doakan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Elizad berkata kali ini dia akan lebih berhati-hati agar perkara lalu tidak terjadi lagi serta akan mengurangkan aktiviti lasak.

“Selepas buat IVF nanti, saya nak lebihkan berehat dan tak nak terlalu banyak bergerak. Malah, saya akan cuba kurangkan aktiviti lasak.

“Dulu, mungkin kerana saya banyak bergerak. Sekarang saya dah ada pengalaman, Insya-Allah saya ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Pada November tahun lalu, Elizad berkongsi berita duka apabila mengalami keguguran selepas menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF). Meskipun keguguran, Elizad meluahkan rasa syukur sempat merasai nikmat menjadi ibu walaupun selama beberapa hari.