fbpx

Tak Layan Komen, Fazura Pilih Untuk Maafkan Haters

Sepanjang bergelar anak seni, pelakon jelita Nur Fazura mengakui tidak terlepas daripada ujian serta komen negatif daripada netizen.

Bagaimanapun, Fazura berkata dia mengambil pendekatan untuk tidak melayan atau membaca kecaman atau komen negatif dilemparkan.

BACA: Netizen Gembira, Fazura Sudah Berhijab?

“Sebagai selebriti memang tidak terlepas dengan kata-kata orang dan rasanya semua orang dalam dunia ini pernah menghadapi perkara sama.

“Tidak dinafikan, dalam 10 orang yang suka pasti ada seorang yang mungkin akan membuatkan kita terasa hati sedikit dan terkesan dengan perkara itu. Jadi, saya cuba untuk alihkan perhatian dengan tidak membacanya.

“Namun kalau ada orang terberitahu atau saya melalui episod-episod dikecam, saya akan cuba untuk memahami individu itu berbanding nak marah. Saya cuba untuk faham kerana mungkin individu ini bercakap melalui apa yang dia rasa dari luaran. Bila kita faham, kita mampu untuk melupakannya,” katanya.

Bercakap mengenai perkara itu menerusi sesi Live Eksklusif Bersama Fazura di Facebook Rasmi Profesor Datuk Dr Muhaya, isteri kepada Fattah Amin itu berkata baginya memaafkan orang lain adalah kuasa cukup hebat.

“Kuasa memaafkan ini sesuatu yang cukup hebat. Saya percaya apabila kita memaafkan orang lain, Allah akan maafkan saya dan mengampunkan dosa-dosa serta menerima ibadah saya. Itu yang paling penting dan saya selalu mohon sebab kita pun banyak dosa.

“Bagi saya, kalau saya maafkan orang, saya akan capai ketenangan dalam diri dan percaya Allah akan memaafkan saya. Saya juga percaya kuasa memaafkan ini banyak membantu diri saya,” katanya.