fbpx

“Suami Paling Gembira, Dia Tak Tanggung Dosa Saya Dedah Aurat”

Mengumumkan berita gembira mengenai penghijrahannya menerusi Instagram malam tadi, pelakon Mawar Rashid berkata hatinya terbuka untuk berhijab selepas mengikuti kelas pengajian agama di Kelantan baru-baru ini.

Menurut Mawar, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berhijab namun hatinya berbolak balik dan akhirnya menyedari tanggungjawab sebagai wanita Islam bukan sahaja perlu bersyukur dengan segala nikmat tetapi melakukan perkara wajib.

BACA: Mawar Rashid Kini Berhijab, Mohon Doa Agar Istiqamah

“Sebenarnya saya nak tutup aurat dah lama sangat. Sudah tentu sebagai wanita beragama Islam ada impian untuk jadi muslimah yang beriman di hadapan Allah.  Tapi saya pun manusia biasa. Hati saya rasa berbolak balik sebab itu masa Ramadan saya cuba untuk berhijab tapi rasa tak sedia lagi.

“Saya tahu waktu itu hati tak kuat tapi Alhamdulillah, saya dapat hidayah selepas masuk kelas agama dan belajar lebih mendalam tentang Islam. Selama ini memang sentiasa ingat Allah tapi lepas masuk kelas baru saya belajar dan faham.

“Memang daripada dulu saya bersyukur dan setiap kali solat mesti akan menangis. Bukan sebab sedih tapi sebab Allah dah beri banyak nikmat tapi tak boleh tutup aurat,” katanya kepada mStar Online.

Mawar berkata dia mula berhijab pada Isnin lalu namun memilih untuk hari Jumaat untuk berkongsikan berita gembira itu sempena Awal Muharram.

Dalam pada itu, Mawar berkata suaminya iaitu Raf Yaakob antara orang yang paling gembira dengan keputusannya itu. Ujarnya, suaminya tidak pernah memaksa dan keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab sebagai wanita Islam.

“Raf orang yang sangat bahagia walaupun dia tak memaksa. Dia banyak bagi hint tapi saya cakap biar benda itu datang daripada diri sendiri. Alhamdulillah, saya tak rasa paksa diri tapi memang saya sedar ini tanggungjawab saya.

“Dia sentiasa doakan semoga saya terus istiqamah dan paling gembira dia tak tanggung dosa sebab saya tak tutup aurat.

“Sebenarnya, saya ada lima orang adik-beradik perempuan dan semua kakak serta ibu saya bertudung, memang saya seorang saja tak bertudung sebelum ini,” katanya.