fbpx

Siti Elizad Jalani Rawatan IVF, Mohon Urusan Dipermudahkan

Sekian lama merancang untuk melakukan rawatan kesuburan In vitro fertilisation (IVF) setelah beberapa kali tertangguh kerana urusan kerja akhirnya Siti Elizad menjalani suntikan pertama untuk rawatan tersebut beberapa minggu lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram hari ini, Elizad memaklumkan menjalani proses pengambilan telur untuk rawatan (IVF). Berkongsikan rasa gemuruh, Elizad berharap supaya hasilnya adalah yang terbaik.

BACA: Elizad Mulakan Suntikan Pertama IVF, Suami Belajar Cara Suntik Di Rumah

“Pagi ini, ‘egg pick up’ (pengambilan telur) bersama Dr Azlin dan pasukan Sophea Fertility. Bukan main gemuruh dengan rasa lapar. Harap-harap, telur yang keluar (diambil) semua yang baik-baik dan cantik-cantik. Moga dipermudahkan,” tulisnya.

Lima tahun menantikan cahaya mata, juga mendoakan semoga dikurniakan zuriat serta keturunan yang baik.

“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya, Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan,” tulisnya.

Terdahulu, Elizad mendedahkan dia mengambil keputusan untuk melalui proses IVF selepas 5 tahun mencuba mendapatkan zuriat. Elizad dan suami, Shamsul Baharin Rahman sudah mendirikan rumah tangga pada 2015.