fbpx

“Setiap Hari Saya Tengok Elyana Berjuang Melawan Kesakitan”

Masih berada di hospital bagi menjalani rawatan radioterapi, perkongsian Elyana sempena hari bapa ternyata cukup menyentuh hati suaminya, Khairul Anuar Husin.

Khairul berkata dia tidak mahu isterinya itu bercakap tentang siapa yang akan pergi dahulu apatah lagi melihat Elyana tidak pernah berputus asa melawan penyakit kanser limfoma sejak 10 tahun lalu.

BACA: Ucap Selamat Hari Bapa, Elyana Doa Supaya ‘Pergi’ Dulu Sebelum Suami

“Tentunya, ungkapan ‘biar Bonda pergi dulu dari ayah’ menjentik emosi saya. Memang sedih dan terusik. Cuma, kalau boleh saya tidak mahu Elyana cakap siapa pergi dahulu.

“Soal ajal maut, semuanya di tangan Tuhan. Kita tidak mampu menjangka siapa terlebih dahulu dijemput Ilahi. Apa yang penting, saya mahu Elyana terus berjuang melawan kanser limfoma,” katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, Khairul menyifatkan isterinya seorang wanita yang sangat kuat. Elyana juga tidak mahu orang lain tahu dia berdepan dengan kesakitan dan mahu menanggungnya sendiri.

“Sejujurnya, saya tidak sangka Elyana boleh jadi sekuat ini. Kami duduk sebumbung, setiap hari saya melihatnya berjuang melawan kesakitan.

“Ada masa, saya juga sering tertanya-tanya bagaimana isteri boleh jadi sekuat ini. Semangatnya melawan sakit sangat tebal. Namun, ada juga Elyana lemah seperti pesakit kanser lain. Ada ketika, dia jadi ‘down’.

“Cuma mengenalinya, Elyana jenis yang tidak mahu orang lain tahu dirinya sedang berperang dengan kesakitan. Biar sakit ditanggungnya sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Elyana membuat pendedahan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2017. Elyana dan Khairul Anuar mendirikan rumah tangga pada 2010 dan dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.