Ramai yang menitipkan doa buat Allahyarham Siti Sarah, Shuib akui tertanya-tanya dalam diri sendiri apakah kebaikan arwah isterinya sepanjang di dunia ini.
Shuib mengakui pemergian arwah isterinya diratapi dan dicemburui ramai. Kata Shuib lagi, sehinggakan dia menerima mesej daripada nombor tidak dikenali memaklumkan solat hajat.
BACA: Lagu Kesetiaan Kembali Tular Di Media Sosial
“Bertalu-talu saya mendapat mesej dan video dari pelusuk seluruh negara yang menganjurkan bacaan Yassin dan doa selamat buat arwah. Tidak kurang juga menghantar gambar memaklumkan soal hajat dilakukan.
“Malah, ada sebahagiannya daripada nombor telefon yang tidak saya kenali. Apakah kebaikan arwah isteri hingga semua orang mahu mendoakan keajaiban dan kesembuhan buatnya? Perkara ini membuatkan saya tertanya-tanya dalam diri sendiri.
“Terlalu ramai ambil tahu mengenai perkembangan diri arwah. Saya tertanya-tanya apakah kebaikan arwah yang saya sendiri tidak tahu. Benar, saya mencemburui pemergiannya,” katanya.
Kata Shuib lagi, dia sudah reda jika arwah isterinya dijemput Ilahi sejak keadannya dilaporkan kritikal pada Jumaat lalu.
“Kami pernah bercakap soal kematian. Malah, arwah isteri pernah cakap kalau boleh mahu meninggal pada Jumaat penghulu hari kerana mahu mendapat ‘husnul khatimah’ dan lepas seksaan kubur.
“Jika ikutkan, saya reda seandainya Allah mencabut nyawanya ketika nazak dan paras bacaan oksigen menurun pada Jumaat lalu. Namun, Allah memberikan arwah sedikit masa lagi untuk hidup. Akhirnya, hari ini arwah pergi juga,” katanya.
Awal pagi tadi, Shuib memaklumkan isterinya, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi selepas tiga hari ditidurkan sejak petang Jumaat lalu untuk menjalani pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungannya yang berusia lapan bulan.