fbpx

“Saya Sebenarnya Cacat, Orang Selalu Pelik Saya Guna Tandas OKU”

Kini bergelar pelawak dan pengacara terkenal, bagaimanapun ramai tidak tahu nasib malang menimpa Nabil Ahmad ketika bekerja sebagai seorang Mat Dispatch suatu ketika dahulu.

Berkongsikan kenangan pahit itu, Nabil berkata dia pernah terlibat kemalangan ketika usia 19 tahun. Ujarnya, disebabkan kemalangan itu dia terpaksa berpaut kepada sesuatu untuk berdiri jika duduk dalam jangka masa yang lama.

BACA: Nabil Ahmad Rugi Ratusan Ribu Ringgit Kerana Covid-19

“Saya bermula dengan kerja di warung pada umur 15 tahun. Saya bersekolah tetapi pada masa itu saya tanggung diri saya sendiri. Yuran sekolah pun saya bayar. Kemudian dalam umur 16 ke 17 tahun saya bekerja di sebuah kedai nasi lemak. Selepas itu baru saya jadi dispatch.

“Pada umur 19 tahun saya baring selama setahun kerana mengalami kemalangan. Peha patah jadi saya sebenarnya cacat,” katanya.

Kisah itu dikongsikan oleh Nabil secara eksklusif menerusi program Rumah No 107. Nabil turut mendedahkan dari luaran dia nampak sempurna namun dia selalu menggunakan tandas Orang Kurang Upaya (OKU).

“Orang selalu pelik bila tengok saya masuk tandas OKU sebab mereka lihat saya di kaca televisyen nampak sempurna.

“Tapi sebenarnya orang tak tahu saya selepas membuang tak boleh bangun terus secara mendadak sehinggalah ke hari ini. Selepas duduk dalam tandas untuk waktu yang lama saya tak boleh terus bangun sebaliknya kena berpaut.

“Badan saya ada besi, bermula dari tulang pinggul saya sehingga bahagian tulang peha. Gigi depan saya juga palsu sebab gusi patah, itulah kemalangan yang berlaku sewaktu saya bekerja jadi mat dispatch,” kongsinya.