fbpx

Nabil Ahmad Rugi Ratusan Ribu Ringgit Kerana Covid-19

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan, ramai yang terjejas pendapatan termasuklah penggiat seni apabila segala aktiviti hiburan terpaksa ditangguhkan bagi membendung pandemik COVID-19.

Pengacara Nabil Ahmad berkata dia juga berdepan kerugian ratusan ribu apabila tidak dapat menjana pendapatan sepanjang tempoh tiga bulan itu. Malah, tawaran persembahan dari Mac lalu sehingga Disember depan telah dibatalkan pihak penganjur.

BACA: Nabil Ahmad Hulur Bantuan Rakan Sekampung Menganggur Lepas PKP

“Sejujurnya, sepanjang PKP, saya tidak ada pendapatan kecuali sebagai pengacara Meletop. Malah, pengurus saya beritahu ‘show’ dan acara hiburan dari Mac hingga Disember, semua dibatalkan.

“Ada lebih 20 acara dibatalkan dengan kerugian yang harus saya tanggung membabitkan ratusan ribu ringgit.

“Namun, mujurlah kerajaan membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium, sekurang-kurangnya tidaklah memberi beban untuk saya melunaskan komitmen,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Nabil tetap meluahkan rasa syukur kerana dia masih mempunyai pekerjaan dan segalanya kembali pulih selepas PKP. Namun, Nabil berkata akibat PKP dua pekerja syarikat produksinya terpaksa dihentikan perkhidmatan.

“Setakat ini, saya bersyukur masih ada pekerjaan. Alhamdulillah selepas PKP, saya dapat rentak bekerja semula.

“Sekarang ini, syarikat produksi saya ada seorang pekerja sahaja untuk memantau kerja yang tertangguh. Namun, Insya-Allah kita doakan semoga ekonomi negara semakin stabil,” katanya.