fbpx

Rosyam Nor Bidas Zul Yahya Kata Kerja Bidang Seni Tak Berkat

Sebelum ini hangat diperkatakan pelakon Zul Yahya menyeru pekerja belakang tabir meninggalkan industri hiburan kerana titik peluh mereka tidak dihargai serta mengatakan berlaku rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri.

Perkata itu mendapat reaksi daripada penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor yang menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Zul Yahya itu adalah tidak wajar sama sekali kerana ia berkiatan soal rezeki.

BACA: Zul Yahya Seru Pekerja Belakang Tabir Tinggalkan Industri Hiburan

“Bagi saya, dia tak sepatutnya bercakap begitu. Sebab rezeki datang daripada pelbagai cara dan apa yang dilakukan oleh penggiat industri ini pun adalah rezeki mereka.

“Dia juga tak sepatutnya menuduh ada rasuah dan lain-lain perkara yang buruk. Mungkin dia rasa tak dapat apa-apa ketika aktif dulu, ia kerana nasib tak menyebelahinya dalam bidang seni.

“Jadi, sesiapa yang masih lagi cari makan dalam bidang ini, mereka perlu teruskan perjuangan untuk mencari rezeki,” katanya kepada Harian Metro.

Rosyam berkata, rata-rata kru belakang tabir tidak kekal dengan kerjaya ini selamanya kerana mereka akan beralih mencari kerja lain. Ujarnya lagi, tuduhan Zul kerja bidang seni tidak berkat mengguriskan perasaan ramai orang.

“Kalau Zul tuduh kata tak berkat, rasanya itu agak mengguris perasaan semua orang. Sebenarnya berada dalam industri drama dan perfileman pun rezeki daripada Allah juga,” katanya.

Katanya lagi, jika seseorang itu mahu melakukan perkara yang tidak senonoh dan tidak baik, ia bukan hanya berlaku dalam bidang seni sahaja. Rosyam berkata, soal rezeki seseorang itu biarlah Allah sahaja yang menentukannya.

“Dalam mana-mana bidang pun boleh berlaku. Dalam masjid pun kalau niat tak betul boleh berlaku juga.

“Kita pun pernah dengar tabung masjid kena curi serta kita pernah dengar barang-barang masjid kena curi dan yang mencuri pun orang dalam juga,” katanya.

Dalam pada itu, Rosyam menolak pertemuan bersama Zul Yahya sekiranya untuk berdebat mengenai perkara tersebut kerana tidak mahu isu berkenaan diperbesarkan.