fbpx

Reviu: Les Misérables

Les Miserables (2012) ialah sebuah filem drama muzikal bikinan negara Britain. Ia diarahkan oleh Tom Hooper iaitu pemenang Pengarah Terbaik (The King’s Speech) di anugerah Oscar dan BAFTA di tahun 2012.

Filem ini merupakan adaptasi dari pementasan teater muzikal dalam bahasa Perancis (1980). Karya asalnya ialah sebuah novel sejarah karya Victor Hugo (1862) yang telah diadaptasi ke berbagai bentuk persembahan dimana dalam versi filem sudah dibikin lebih dari 50 kali dalam berbagai bahasa di seluruh dunia.

Maka apakah yang menarik untuk versi filem kali ini? Filem Les Miserables secara ringkasnya ialah pementasan semula sebuah teater muzikal dimana ia ‘dihidupkan’ sepenuhnya oleh lokasi penggambaran yang hebat menggantikan sebuah pentas sahaja.

Ia menekap semula gabungan elemen drama dan muzikal dari pementasan asalnya ke bentuk filem. Sudah tentu penceritaannya lebih spektakular kerana kebebasan penggambaran filem yang berhari-hari berbanding sebuah pementasan teater tanpa henti untuk beberapa jam dalam satu malam.

Ceritanya berkisar mengikuti perjalanan hidup Jean Valjean (Hugh Jackman) seorang bekas banduan yang dibebaskan selepas 19 tahun dipenjarakan hanya kerana kesalahan kecil iaitu mencuri sebuku roti. Dia diburu oleh Javert (Russell Crowe) seorang pengawal penjara dan polis selepas Valjean melanggar peraturan parol banduan.

Valjean nekad untuk membetulkan halatuju hidupnya setelah diberi belas kasihan oleh seorang Bishop walaupun dia telah mencuri barangan perak dari sebuah gereja. 8 tahun kemudian, dia berjaya mengubah kehidupannya sehingga menjadi seorang tauke kilang manik dan Datuk Bandar di Montreuil, Perancis yang berjaya serta dihormati.

Valjean dipertembungkan dengan Fantine (Anne Hathaway), salah seorang pekerja yang menghadapi masalah kewangan untuk menyara anaknya Cosette (Isabelle Allen). Cosette didera hidup oleh penjaganya iaitu pasangan Thenardiers (Sacha Baron Cohen & Helena Bonham Carter) yang juga tinggal dengan anak mereka Eponine (Natalya Angel Wallace).

Filem Les Miserables secara ringkasnya ialah pementasan semula sebuah teater muzikal dimana ia ‘dihidupkan’ sepenuhnya oleh lokasi penggambaran yang hebat menggantikan sebuah pentas sahaja.

Kisahnya diteruskan mengenai kronologi bagaimana Valjean memelihara Cosette (Amanda Seyfried) sehingga dewasa setelah kematian Fantine yang mewasiatkan supaya menjaga anaknya yang malang itu. Pada waktu yang sama Valjean terus diburu oleh Javert. Kemuncak cerita Les Miserables berakhir di Paris, Perancis dimana Cosette jatuh cinta dengan Marius Pontmercy (Eddie Redmayne) seorang pejuang revolusi bersama rakan seperjuangannya, Friends of The ABC.

Filem ini secara luarannya cuma kisah pelarian seorang bekas banduan, Jean Valjean yang berusaha keras untuk memulakan hidup baru iaitu dari seorang yang hina kepada seorang yang mulia. Namun begitu secara dalamannya ia ialah kisah sindiran politik kepada kerakusan kuasa pemerintah sehingga berlakunya kemiskinan dan jenayah di Perancis dahulu.

Victor Hugo menulis novelnya di tahun 1862 dengan menjadikan konflik politik, agama dan sosial di zaman itu sebagai kisah latar yang diadun dengan drama kemanusiaan secara fiksyen. Jelas sekali di babak penamat kisah dalam Les Miserables ialah ‘harapan’ Victor walaupun dalam dunia ‘kematian’ untuk menyatukan rakyat Perancis menentang kuasa kuku besi pihak pemerintah.

Les Miserables hebat kerana semua dialog dalam bentuk nyanyian para pelakonnya menggunakan teknik rakaman langsung iaitu bukannya rakaman semula (dubbing). Dalam ertikata lain, semua pelakon mesti menyanyi dan berdialog dalam nada dan emosi yang sama seperti persembahan teater, walaupun mereka perlu mengulang untuk beberapa kali babak yang serupa kerana keperluan penggambaran sesebuah filem.

Anda bayangkan babak-babak nyanyian dalam filem Bollywood yang berpindah-randah lokasi hanya dalam sebuah lagu sahaja…

Kronologi babak muzikal disunting dengan mempersembahkan berbagai bentuk dialog berirama mahupun nyanyian berharmoni yang berkesan. Antara yang paling mantap ialah babak penuh emosi oleh watak Fantine lakonan Anne Hathaway dengan hanya satu tangkapan kamera yang panjang. Sudah pasti ia menjadi taruhan Anne untuk memenangi anugerah. Penonton akan terbuai dengan melodi dan nyanyian semua watak serta pasti sesekali menyanyi bersama sambil menontonnya.

Di samping itu, set lokasi setiap babak juga dibikin mengikut kronologi cerita seperti pengubahan set pentas sesebuah teater. Anda bayangkan babak-babak nyanyian dalam filem Bollywood yang berpindah-randah lokasi hanya dalam sebuah lagu sahaja, tetapi dalam filem ini ia dipaparkan untuk keseluruhan filem. Pemaparan visual kehidupan daif rakyat Perancis di celah-celah bandar yang kotor dan jijik berjaya dibentangkan.

Bagi khalayak yang sudah biasa menonton sebuah filem epik sejarah peperangan misalnya, mungkin akan merasa sedikit janggal pada mula penontonan filem ini. Sebahagian besar durasi lebih 2 jam setengah, dari awal hingga habis tayangan dimana watak-wataknya ‘menyanyi’ sebagai cara pertuturannya. Aspek inilah yang menjadikan filem ini gah kerana pemilihan para pelakon yang hebat dan ternama.

Saya yakin Hugh Jackman dan Anne Hathaway akan tercalon dan bakal memenangi kategori pelakon lelaki terbaik dan pelakon pembantu wanita terbaik dalam berbagai anugerah perfileman di tahun 2013. Begitu juga untuk Tom Hooper dan pekerja produksinya bakal tersenarai dan menang untuk pencapaian pengarahan serta berbagai aspek teknikal lain.

Kesimpulan: Les Miserables mungkin agak terbelit lidah untuk menyebutnya. Namun saya suka dan terasa berada dalam era lama Perancis yang berlagu-lagu selepas menonton filem ini. Dengan itu, sejujurnya saya berikan 4.5 ROTIKAYA.