fbpx

Masa Depan Generasi Akan Datang Terletak Di Tangan Anda

Bercakap soal pinjaman pendidikan, ini pastinya terikat dengan anda yang melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Yalah mana tidak nya,dengan duit pinjaman itu anda boleh berjaya dan mengubah nasib keluarga.

Bagi generasi terdahulu pastinya anda sudah merasai wang pinjaman di dalam akaun anda bukan? Tapi sudahkah anda membuat bayaran balik untuk memberi kemudahan seterusnya kepada pelajar/peminjam yang akan datang?

Berdasarkan statistik PTPTN hanya 49% peminjam yang bertanggungjawab melakukan bayaran balik pinjaman PTPTN manakala 51% lagi adalah peminjam culas yang terdiri daripada peminjam yang membuat bayaran balik secara tidak konsisten.

Hutang Kian Meningkat Saban Tahun

Boleh dikatakan semakin rendah bilangan peminjam yang melakukan bayaran balik dan dalam pada masa yang sama semakin meningkat nilai peminjam dan hutang yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Selain itu, bilangan pelajar yang memohon pinjaman daripada PTPTN juga dijangka meningkat, daripada 180,000 sekarang kepada 250,000 sebelum tahun 2040 selaras dengan unjuran peningkatan pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi.

Persoalannya, dapatkah generasi akan datang melanjutkan pelajaran dengan lebih sempurna seperti anda sekiranya anda tergolong dalam kelompok yang tidak membayar balik pinjaman anda?

Kesan daripada kegagalan sesetengah individu untuk membayar balik pinjaman PTPTN, adalah mustahil untuk PTPTN terus mendapat pinjaman dari Kerajaan yang telah menyediakan bayaran balik prinsipal pinjaman antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun.

Situasi juga akan bertambah genting sekiranya tanggungan hutang meningkat dalam tempoh masa 20 tahun akan datang.

Malah sekiranya, generasi akan datang yang merupakan adik-adik atau anak-anak anda ingin melanjutkan pelajaran seperti anda, kemungkinan mereka terpaksa membuat pinjaman pendidikan kepada peminjam komersial dan mungkin kadar faedah bayar balik mereka jauh lebih tinggi daripada anda yang membuat pinjaman PTPTN dengan Ujrah hanya 1% sahaja.

Semakin Sedikit Bilangan Pelajar Yang Kurang Berkemampuan Melanjutkan Pelajaran

Seperti yang kita sedia maklum, rata-ratanya yang memohon pinjaman PTPTN ini adalah dari golongan B40 dan generasi ini mungkin semakin ramai memandangkan keadaan ekonomi yang kurang memuaskan.

Dan pernahkah anda terfikir yang golongan ini tidak dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading sekiranya anda masih teragak-agak untuk membuat bayaran balik?

Lebih merisaukan lagi, generasi akan datang mungkin akan mengalami situasi yang lebih rumit dan ketat oleh insitusi kewangan yang mungkin menyukarkan golongan berpendapatan rendah membuat pinjaman.

Zaman sekarang ini, terlalu banyak cara dan kaedah untuk anda membuat bayaran balik PTPTN. Jika anda tidak mahu serabutkan kepala anda dengan hutang, anda juga boleh membuat bayaran balik secara cashless melalui potongan gaji atau direct debit.

Lebih menarik jika niat anda tidak mahu bayar balik pinjaman anda haruslah jadi peminjam yang tergolong dalam golongan pelajar yang cemerlang sekali gus bebas dari melunaskan hutang dengan PTPTN.

Oleh itu, ayuh jalankan tanggungjawab anda sebagai peminjam untuk kemudahan generasi akan datang ok!