Mengakui seumur hidup ibunya tidak pernah menegur soal pemakaiannya, penyanyi Zizi Kirana berkata teguran panjang oleh ibunya yang diterima melalui mesej ternyata membuatkan dirinya tersentak.

Menurut Zizi, baginya teguran daripada insan yang melahirkannya itu tidak boleh dipandang ringan. Ujarnya, dia berubah demi menghormati permintaan ibunya dan sudah sampai masanya apatah lagi usianya sudah menganjak 36 tahun.

BACA: Pertama Kali Mengaji Di TV, Netizen Terpesona Dengan Suara Zizi Kirana

“Insya-Allah, saya akan perlahan-lahan berubah, tidaklah melakukan perubahan drastik. Saya tak mahu dilihat berpakaian terbuka kepada tutup secara mengejut.

“Cuma, sekarang saya elak berpakaian yang mendedahkan bahagian tertentu. Saya tak mahu ibu bersedih lagi. Saya juga bersyukur ramai mendoakan saya berubah. Mana tahu hati saya terbuka bertudung, mungkin esok atau lusa.

“Jika ikutkan niat mahu bertudung sudah ada. Cuma, saya enggan terburu-buru. Saya sentiasa mengharapkan doa yang baik-baik,” katanya kepada BH Online.

Zizi berkata dia tidak menganggap teguran ibu supaya berubah tidak berpakaian mencolok mata sebagai satu tekanan besar. Ujarnya, pasti ada hikmah disebaliknya dan sebagai anak dia tidak membantah.

“Ibu mesej secara tiba-tiba, selepas solat Subuh. Apa yang saya fikir, ada betul pesanan yang diberikan. Jarang ibu menegur saya dengan menghantar mesej.

“Saya percaya ada hikmah yang tersembunyi apabila datang isyarat daripada ibu. Sebagai anak yang menyayangi orang tua, saya takkan membantah.

“Ibu tak minta saya berhijab kerana bimbang tidak istiqamah dan membukanya semula. Dia hanya mahu saya berubah secara perlahan-lahan. Saya sudah berjanji tak akan berpakaian seksi lagi,” katanya.