fbpx

“Ramai Cakap Saya Jefri Nichol ‘Green Flag” – Ikmal Amry

Pelakon Ikmal Amry berkata dia pernah ditanya netizen mengapa menjalin hubungan dengan pempengaruh media sosial, Ameera Khan kerana wajah dikatakan seiras pelakon Indonesia, Jefri Nichol.

Memetik Kosmo, Ikmal berkata dia mendengar komen mengatakan wajahnya mirip Jefri sejak tahun lalu dan kembali hangat diperkatakan berikutan gosip cinta aktor Indoesia itu dengan Ameera baru-baru ini.

BACA: Ameera Khan, Jefri Nichol Berpegangan Tangan

“Perkara ini diperkatakan sejak dia mula-mula popular di Indonesia. Kemudian, saya pernah Facetime dengan Jefri sebelum ini, itu pun secara tidak sengaja kawan saya hubungi dia. Kami tidak berkawan tetapi tahu kewujudan masing-masing.

“TikTok kami sama-sama dibanjiri dengan komen mengatakan wajah dia mirip pelakon Malaysia, Ikmal Amry dan begitu juga yang ada dalam ruangan komen saya,” katanya.

Sementara itu, Ikmal berkata dia tiada masalah jika disamakan dengan Jefri apatah lagi aktor itu tampan namun jika ada perkara negatif melibatkan aktor itu dia turut sama terkena tempias.

“Saya okey sahaja jika disamakan dengan Jefri sebab dia memang kacak. Cuma seram juga lah, kalau benda buruk dia buat saya pun terkena tempias.

“Paling kelakar, ada komen yang gelar saya Jefri Nichol versi ‘green flag’. Mungkin komen positif itu kerana saya dah kahwin.

“Kemudian ada pula yang persoal kenapa saya bercinta dengan Ameera Khan? Sedangkan dalam Instagram saya ada banyak gambar dengan isteri, mereka salah orang,” katanya.

SUMBER: Kosmo