Walaupun sebelum ini Qi Razali ada memberitahu yang beliau sanggup untuk menunggu Nelydia Senrose untuk mencapai impiannya dalam dunia hiburan kerana usia yang masih muda namun ada perkembangan terbaru tentang hubungan mereka.

Dalam temubual terbaru bersama Kosmo!, Qi Razali mendedahkan yang beliau merancang untuk mengikat tali pertunangan dengan Nelydia pada tahun hadapan.

Pengacara program Jalan Jalan Cari Makan yang berusia 36 tahun ini mengambil keputusan itu atas faktor tidak mahu menunggu sehingga usianya mencecah 40 tahun untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan mereka.

“Kalau boleh saya tidak mahu berkahwin ketika umur saya memasuki 40 tahun — dalam tempoh setahun dua ini akan ada langkah seterusnya dalam hubungan kami,” jelas Qi Razali.

Nelydia Senrose yang dihubungi bagaimanapun berkata Qi Razali belum meluahkan apa apa hasrat untuk merisik atau meminangnya dalam masa terdekat namun mengakui mahu melangkah ke fasa yang lebih serius dalam hubungan mereka berdua.

“Saya tidak boleh cakap sudah bersedia atau tidak. Saya serahkan pada keluarga sebabnya saya masih di bawah tanggungan keluarga. Segala kata putus daripada keluarga saya akan ikut,” ujar Nelydia Senrose mengulas hasrat Qi Razali.