fbpx

PU Abu Harap Netizen Berikannya Peluang Perbaiki Diri

Selepas satu demi satu kontroversi terpalit rumah tangga mereka, minggu lalu hangat diperkatakan apabila Hana Azraa mendedahkan bahawa dia dan Pencetus Ummah (PU) Abu sudah pun sah bercerai.

Mahu membuka fasa baru dalam hidupnya, PU Abu meminta agar netizen serta masyarakat memberinya peluang untuk memperbaiki diri, menjadi seorang insan yang lebih baik. PU Abu berkata dia mahu memperbaiki hubungannya dengan Allah dan sesama manusia.

BACA: Hana Azraa Sahkan Sudah Berpisah Dengan PU Abu

“Semua manusia tak terlepas dari membuat silap dan saya pun manusia. Saya masih ada keluarga serta bapa dan akan hidup bersama mereka selepas ini,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Abu enggan mengulas mengenai penceraian dengan bekas isterinya Hana Azraa.

Terdahulu, Hana berkata mereka bukan lagi suami isteri dan tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi. Jelasnya lagi, jika PU Abu mengatakan mereka masih lagi suami isteri dia sendiri tidak pasti mengapa bekas suaminya berbuat demikian.

Hana juga meminta orang ramai untuk berhenti bertanyakan tentang hubungan bekas suaminya itu dengan mana-mana wanita lain dan menyarankan untuk bertanya perkara itu secara terus kepada PU Abu.

Hana dan PU Abu mendirikan rumah tangga pada Mei tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata bernama Muhammad Uwais Al-Mateen pada 1 Februari.